Tanjong Malim, 22 November 2025- Program Mihrab 2.0 kali ini menggabungkan tiga slot pada hari yang sama dan dijadualkan khusus kepada mahasiswa Semester 1 yang terpilih.

Program dilaksanakan mengikut lokasi yang telah ditetapkan, iaitu di Masjid Al-Mursyidin bagi pelajar Muslim dan di Ruang Aktiviti Pelajar Kolej Aminuddin Baki (KSAS) bagi pelajar non-Muslim.

Sebelum bermulanya Modul Tauhid, para peserta terlebih dahulu mendengar penerangan yang disampaikan oleh Ustaz Azizi Bin Jasa, yang memberikan penjelasan berkaitan asas Tauhid sebagai pengenalan kepada pengisian yang bakal dijalankan.

Seterusnya, mahasiswa diagihkan ke dalam beberapa kumpulan, masing-masing dipimpin oleh seorang fasilitator berpandukan modul-modul yang dibangunkan melalui latihan Train of Trainers Mihrab 2.0.

Sesi pengisian dimulakan dengan Modul Tauhid, yang menekankan kefahaman sifat-sifat Allah dan disertai aktiviti refleksi bagi mengukuhkan asas akidah.

Modul berikutnya, Feqah, memfokuskan ibadah wajib seperti solat dan wuduk serta situasi praktikal yang sering dihadapi, termasuk demonstrasi tayammum dan penggunaan wuduk spray sebagai alternatif.

Modul terakhir, Tasawuf, memberi tumpuan kepada pemahaman akhlak mahmudah dan mazmumah, dengan penekanan terhadap penjagaan hati sebagai asas pembentukan peribadi yang baik.

Pada akhir program, peserta menjawab kuiz sebagai penilaian keseluruhan bagi mengukuhkan kefahaman modul.

Secara keseluruhan, pengisian Mihrab 2.0 memberikan pengalaman yang bermakna dan membantu mahasiswa memahami konsep asas yang wajib dikuasai sebagai seorang Muslim, di samping membina kesedaran rohani yang lebih mendalam.