Manjung, 1 Disember 2025– ResQ Team Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menggerakkan seramai 71 sukarelawan terdiri daripada staf dan mahasiswa dari V-FSK4U, Fakulti Pembangunan Manusia dan Majlis Perwakilan Pelajar bagi melaksanakan misi bantuan pasca banjir di beberapa kawasan terjejas sekitar daerah Manjung, Perak.
Gerakan pasukan ini dilakukan bagi membantu mangsa banjir yang berhadapan kerosakan kediaman, kehilangan harta benda dan keperluan pembersihan segera selepas bencana.
Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah selaku ketua misi, berkata misi ini memberikan tumpuan kepada kepada kerja-kerja pembersihan rumah, pengalihan perabot, perkakas elektrik dan peralatan rumah.



“ResQ Team UPSI telah berganding bahu menggembleng tenaga membersihkan dewan serta empat buah rumah warga emas yang terjejas akibat banjir di dua lokasi iaitu di Rancangan Perkampungan Tersusun Batu 7 Lekir dan Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan Batu 8 Lekir” ujarnya.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata penglibatan besar warga universiti dalam misi ini mencerminkan iltizam UPSI untuk terus memastikan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dilaksanakan secara konsisten dan berkesan.

Misi ini merupakan sebahagian daripada agenda UPSI Prihatin, yang sentiasa komited memberikan bantuan kemanusiaan, sokongan sosial dan penglibatan komuniti dari semasa ke semasa. Kejayaan operasi di Manjung ini diharap dapat mempercepat proses pemulihan penduduk terjejas serta mengukuhkan hubungan kerjasama antara UPSI dan masyarakat.

