Oleh : NURUL SHAFINAZ AZRI
JOHOL, 7 Disember 2025– Di celah kehijauan Kampung Tanggai dan Kampung Betong, suara tawa, semangat kerjasama dan denyut kasih komuniti bergema sepanjang empat hari tiga malam apabila Program Eksplorasi Bitara 3.0: Bakti Mahasiswa, Citra Bangsa anjuran Majlis Mahasiswa Unit Kediaman Luar Kampus (MMKLK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung penuh warna dan makna.
Kehadiran 61 peserta daripada UPSI, KVSAS, pelajar antarabangsa serta para felo dan guru pembimbing menjadikan kampung kecil ini hidup dengan suasana yang luar biasa.
Berkonsepkan sebuah program anak angkat yang menyatukan mahasiswa dengan keluarga angkat masing-masing, menjadikan kampung ini rumah sementara yang sarat kasih sayang.



Majlis perasmian yang berlangsung pada hari pertama disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Saiful Yazan bin Sulaiman, Ahli Dewan Undangan Negeri Johol, yang menyampaikan amanat sarat hikmah buat mahasiswa.
Dalam ucapan beliau, YB menekankan bahawa pembentukan insan dan pemimpin masa depan tidak akan sempurna tanpa pengalaman turun padang mendekati masyarakat.




“Nilai kemanusiaan, empati dan kepimpinan tidak boleh diajar sepenuhnya melalui buku. Ia terbina melalui pengalaman -pengalaman bekerja bersama komuniti, berbicara dari hati ke hati, dan berusaha menyelesaikan masalah bersama,” ujar beliau dalam nada penuh keyakinan.
YB turut merakamkan rasa bangga melihat mahasiswa sanggup meninggalkan zon selesa demi memahami realiti masyarakat kampung.
Beliau menyifatkan usaha mahasiswa UPSI dan KVSAS sebagai simbol kepimpinan berwawasan yang amat diperlukan oleh negara.
“Apabila mahasiswa turun kepada rakyat, di situlah lahirnya agen perubahan sebenar,” katanya lagi, sambil memuji keterbukaan penduduk kampung menerima para peserta.



Sepanjang program, gelak tawa, keringat, dan semangat kebersamaan mengisi setiap sudut kampung. Hubungan erat terjalin melalui Program “NextGen Pathways”, bengkel kemahiran, Program “Heritage on a Plate” makanan tradisi Negeri Sembilan, masakan antarabangsa UPSI, serta masakan budaya Jawa oleh pelajar kulinari KVSAS, saringan kesihatan percuma oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah dan sukan rakyat “Mengoca Ikan” dan saringan kesihatan.
Slot ceramah malam kedua berjaya menyentuh hati para peserta apabila isu jiwa remaja dibentangkan dengan penuh hikmah, menjadikan malam itu sarat pengajaran dan ketenangan.



Aktiviti gotong-royong pada hari ketiga dijalankan di sekitar Kampung Tanggai dan Kampung Betong bagi membaiki rumah ibu tunggal, servis penghawa dingin masjid dan aktiviti memasak bersama masyarakat.
Malam Kebudayaan pula menjadi pentas memperlihatkan keindahan budaya yang berbeza-beza. Pelajar antarabangsa, mahasiswa UPSI dan pelajar KVSAS bergilir-gilir mempersembahkan bakat mereka, mencipta malam yang penuh warna, penuh harmoni sebuah malam yang mengajar bahawa perbezaan adalah sesuatu yang wajar diraikan, bukan dijauhkan.
Ketika program sampai ke penghujungnya, suasana bertukar tenang dan syahdu. Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Ke Bawah Kaus, Yang Teramat Mulia Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Haji Muhammad bin Haji Abdullah Undang Luak Johol, yang hadir dengan pesan-pesan bernilai tinggi untuk mahasiswa.
Dalam ucapannya, baginda memuji kecekalan semua pihak yang menjayakan program dan menegaskan betapa pentingnya hubungan dua hala antara institusi pendidikan dan masyarakat.



“Eksplorasi Bitara 3.0 ini bukan sekadar program khidmat masyarakat biasa. Ia merupakan platform pendidikan luar bilik darjah yang sangat bernilai,” titah baginda.
Baginda menekankan bahawa mahasiswa bukan sahaja mempelajari teori, tetapi sedang membentuk jati diri melalui interaksi langsung dengan komuniti.
“Kehadiran mahasiswa ke kampung ini bukan sahaja membawa manfaat kepada penduduk, malah turut memupuk perpaduan dan rasa cinta terhadap masyarakat,” tambah baginda.
Baginda turut menitipkan pesanan yang cukup mendalam, iaitu agar semangat kesukarelawanan yang dijiwai sepanjang program tidak terhenti di sini sahaja.
“Kita ingin melahirkan generasi pemimpin yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga mempunyai keprihatinan dan keazaman untuk membangunkan masyarakat,” titah baginda sambil menyeru agar hubungan harmoni yang terbina antara mahasiswa dan masyarakat diteruskan pada masa hadapan.
Majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian bantuan makanan asas kepada sepuluh keluarga asnaf, sebagai simbol kasih mahasiswa kepada komuniti kampung.
Tepukan dan senyuman mewarnai dewan, namun di balik semua itu tersimpan harapan agar pertemuan ini bukanlah yang terakhir.
Eksplorasi Bitara 3.0 akhirnya berakhir dengan pelukan, tangisan kecil, dan janji untuk kembali. Para peserta pulang bukan sahaja dengan kenangan, tetapi dengan jiwa yang lebih matang, lebih bersyukur, dan lebih memahami makna sebuah tanggungjawab sosial. Kampung Tanggai dan Kampung Betong mungkin telah kembali sunyi, tetapi semangat yang ditinggalkan mahasiswa itulah yang akan terus hidup dalam hati penduduknya.
