Oleh: Irdina Wafa Zulkifli
Mukah, Sarawak, 23–26 Oktober 2025 – Program Eksplorasi Kesenian dan Budaya 2.0 telah berlangsung dengan jayanya hasil kolaborasi antara Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Politeknik Mukah, Sarawak.
Program ini merupakan kesinambungan daripada siri pertama yang telah diadakan di Sungai Siput, Perak sebelum ini, dan kembali dengan penganjuran yang lebih segar dan berimpak tinggi di bumi Kenyalang.



Program kali ini menghimpunkan seramai 10 orang pelajar tempatan (MMKLK) dan 10 pelajar antarabangsa yang terdiri daripada seorang pelajar ijazah, lapan pelajar sarjana dan seorang pelajar PhD. Antara peserta antarabangsa yang terlibat termasuk tujuh pelajar dari Indonesia dan tiga dari Bangladesh.
Sepanjang empat hari pelaksanaan, pelbagai aktiviti bermanfaat telah dijalankan dengan tujuan memperkukuh jaringan ilmu, budaya dan kepimpinan antara mahasiswa dua institusi. Program dimulakan dengan aktiviti silang budaya yang memperkenalkan keunikan seni dan tradisi masyarakat Sarawak kepada para peserta.
Dalam sesi ini, para pelajar tempatan dan antarabangsa berpeluang menyertai demonstrasi tarian tradisional dan makanan tradisional sekaligus membuka ruang untuk memahami dan menghargai kepelbagaian budaya Malaysia yang kaya dengan nilai dan simbolik tersendiri.



Seterusnya, para peserta turut melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Sekolah Kebangsaan Kampung Petanak, Mukah.
Aktiviti ini memberi peluang kepada mahasiswa UPSI dan Politeknik Mukah untuk menabur bakti kepada masyarakat setempat melalui gotong-royong, sesi motivasi bersama murid sekolah serta aktiviti seni dan permainan yang menceriakan suasana.
Pendekatan ini secara tidak langsung menyemai semangat prihatin dan empati dalam diri mahasiswa terhadap masyarakat luar bandar.
Selain itu, program turut diserikan dengan slot motivasi dan diskusi kepimpinan bersama pemimpin pelajar Politeknik Mukah, yang bertujuan memperkukuh semangat kolaboratif dan saling bertukar pandangan tentang gaya kepimpinan, pengurusan organisasi serta cabaran dunia mahasiswa masa kini. Sesi interaktif tersebut membuka ruang jaringan baharu antara pelajar dua institusi, sekaligus membina kefahaman yang lebih mendalam terhadap peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan dan pemimpin masa depan.
Menurut pengarah program Eksplorasi Kesenian dan Budaya 2.0, Saudari Cheryn anak Colin, program ini bukan sekadar program lawatan, tetapi satu platform pertukaran ilmu, budaya dan pengalaman yang menyeluruh. Ia bertujuan memperkenalkan keindahan budaya Sarawak kepada pelajar antarabangsa, di samping membentuk jati diri mahasiswa tempatan yang menghormati warisan dan nilai masyarakat majmuk.
Pengetua UKLK, Prof Madya Ts. Dr. Che Ghani bin Che Kob, dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga dan penghargaan terhadap inisiatif yang dijalankan oleh mahasiswa. Beliau menegaskan bahawa program seperti ini bukan sahaja memperkaya pengetahuan budaya pelajar, malah mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat kampus yang berbilang bangsa dan latar belakang.
“Eksplorasi Kesenian dan Budaya 2.0 ini menjadi bukti bahawa mahasiswa UPSI mampu memainkan peranan sebagai jambatan antara budaya, ilmu dan kemanusiaan. Melalui aktiviti seperti CSR dan pertukaran budaya ini, mereka bukan sahaja belajar menghargai warisan bangsa, tetapi juga menanam nilai empati, kepimpinan dan tanggungjawab sosial yang tinggi,” ujar beliau.
Beliau turut berharap agar jalinan kerjasama antara UKLK dan Politeknik Mukah dapat diteruskan pada masa hadapan melalui pelbagai bentuk kolaborasi akademik dan kebudayaan.
Program ini meninggalkan kesan mendalam kepada peserta antarabangsa yang mengakui kagum dengan keunikan budaya serta keramahan masyarakat Sarawak. Bagi pelajar tempatan pula, penyertaan ini membuka mata mereka tentang kepelbagaian etnik dan adat di negeri Bumi Kenyalang yang kaya dengan nilai warisan bangsa.
Secara keseluruhannya, Eksplorasi Kesenian dan Budaya 2.0 berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh semangat perpaduan, mengangkat seni dan budaya sebagai medium penyatuan, serta menanam rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa. Program ini diharap menjadi titik mula kepada jalinan kerjasama yang lebih erat antara UPSI dan Politeknik Mukah pada masa akan datang.

