Oleh: Nur Alya Marsya Azlan
Tanjong Malim, 13 Disember 2025 – Program DRONE EDU-LAB 2025: “Empowering Youth with Aerial Intelligence” berlangsung dengan meriah di Dewan Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini dianjurkan oleh Exco Media dan Publisiti, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) Sesi 2025/2026 dengan kerjasama Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (AKSADRON), bertujuan memberi pendedahan serta menggalakkan inovasi dalam teknologi dron.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang itu berjaya menarik penyertaan seramai 56 peserta yang terdiri daripada kakitangan awam, pelajar sekolah, mahasiswa UPSI, mahasiswa universiti awam lain serta komuniti setempat. Sepanjang program, para peserta diberi peluang mempelajari teknik penerbangan dron sukan daripada jurulatih berpengalaman selain memahami aspek keselamatan dan operasi dron secara lebih menyeluruh.



Pengarah Program, Aiza Azlin Misran, memaklumkan bahawa penganjuran program ini bukan sahaja menawarkan pengalaman praktikal yang menarik, malah berperanan sebagai pencetus keyakinan, kreativiti dan keberanian peserta untuk meneroka bidang baharu berkaitan teknologi aeroangkasa.




Program ini turut mendapat sambutan memberangsangkan apabila hampir 400 mahasiswa UPSI hadir bagi menyaksikan aktiviti bengkel dron serta menyertai pelbagai pengisian sampingan yang melibatkan kelab dan persatuan UPSI. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pameran, jualan serta permainan interaktif yang berjaya memeriahkan suasana program.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Penasihat Program DRONE EDU-LAB 2025, Hazman Yaa’kob. Dalam ucapannya, beliau menyatakan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform berterusan dalam pembangunan generasi muda.
“Penganjuran program ini selari dengan hasrat Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan kepentingan pembangunan insan berteraskan ilmu, pemikiran kritis dan nilai integriti. Program ini juga dilihat berupaya memperkukuh jaringan intelektual serta semangat kolaboratif dalam kalangan mahasiswa pelbagai universiti demi menyumbang kepada pembangunan negara”, katanya lagi.
DRONE EDU-LAB 2025 menampilkan pelbagai aktiviti pembelajaran yang tersusun dan interaktif, antaranya Drone Workshop, Drone Soccer, Drone Simulation, serta permainan interaktif yang memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan kemahiran kawalan dan strategi secara praktikal. Selain itu, sesi Test Flying dan latihan menggunakan FPV Drone Simulators turut memberi pengalaman langsung mengendalikan dron, manakala pertandingan Mini Drone Precision Flight menekankan aspek ketepatan kawalan dan keyakinan peserta.
Objektif utama penganjuran DRONE EDU-LAB 2025 adalah untuk melahirkan generasi mahasiswa yang celik teknologi melalui pendedahan intensif terhadap penggunaan dron dalam bidang pendidikan, industri dan komuniti. Program ini juga bertujuan menggalakkan pembangunan bakat pelajar dalam bidang STEM, teknologi penerbangan tanpa pemandu (UAV) serta pendidikan digital.
DRONE EDU-LAB 2025: “Empowering Youth with Aerial Intelligence” memberikan pengalaman bermakna kepada para peserta dan meningkatkan kefahaman mereka terhadap potensi teknologi dron dalam pelbagai sektor. Penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluas pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai pihak berkepentingan serta penambahan modul latihan lanjutan bagi memperkukuh keberkesanan program dalam melahirkan mahasiswa UPSI yang inovatif dan celik teknologi.
