Sungaki, 18 Disember 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MAKSUM) telah menganjurkan Program AQUARESQ, iaitu Kursus Penyelamatan Arus Deras dan Pengurusan Risiko Banjir yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Disember 2025 di Mengkawan Chalet, Sungkai, Perak.
Program ini melibatkan seramai 43 orang peserta yang terdiri daripada wakil universiti awam dari seluruh Malaysia. Kursus ini dikendalikan oleh Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Prof. Madya Dr. Mazuki bin Mohd Yasim, yang bertindak sebagai jurulatih utama sepanjang program berlangsung.



Penganjuran Program AQUARESQ bertujuan memperkukuh pengetahuan, kemahiran serta tahap kesiapsiagaan peserta dalam menghadapi situasi kecemasan, khususnya berkaitan bencana banjir dan operasi penyelamatan di kawasan berarus deras.
Menurut Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah, sepanjang program berlangsung peserta didedahkan dengan modul latihan merangkumi aspek teori dan praktikal, termasuk teknik asas dan lanjutan penyelamatan arus deras, penggunaan serta pengendalian peralatan keselamatan, penilaian risiko persekitaran dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa operasi menyelamat.



“Selain itu, latihan simulasi turut dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan peserta dalam membuat keputusan pantas, komunikasi berkesan serta kerjasama berpasukan dalam situasi berisiko tinggi. Pendekatan latihan berasaskan situasi sebenar ini membantu meningkatkan tahap keyakinan dan profesionalisme peserta” ujarnya lagi.



Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata program AQUARESQ bukan sahaja menekankan aspek keselamatan fizikal, malah turut memberi fokus kepada pengurusan risiko dan tanggungjawab sosial warga universiti dalam membantu komuniti setempat ketika berlakunya bencana alam.
“Penganjuran program ini diharap dapat melahirkan lebih ramai individu terlatih dalam bidang penyelamatan air dan pengurusan risiko banjir, sekali gus menyumbang kepada usaha memperkukuh kesiapsiagaan universiti awam serta keselamatan masyarakat secara keseluruhan”.

