Oleh Nik Nurkhalisha Bahirah binti Zaini
TANJUNG MALIM, 15 JANUARI 2026 — Program menyediakan “Makanan Rahmah” di kafe KHAR, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semakin membantu pelajar yang memerlukan dengan menyediakan hidangan percuma atau pada harga mampu milik, sekali gus meringankan beban kos sara hidup dan menyokong kesejahteraan pelajar kampus.
Setiap hari, café menyediakan beberapa hidangan “Makanan Rahmah” yang boleh diakses oleh pelajar melalui pendaftaran ringkas dengan pihak pengurusan kafe. Menu rahmah ini selalunya dijual dalam harga yang murah dengan kuantiti yang mencukupi, sesetengah kedai tidak menghadkan jumlah menu rahmah yang dijual manakala segelintir penjual menghadkan contohnya sehari hanya 30 menu rahmah sahaja dijual .Menurut seorang penghunu Kolej Harun Aminurrashid, Izzah Humaira Binti Rosli, 21, inisiatif ini sangat membantu terutama bagi pelajar yang datang dari luar kawasan dan menghadapi kekangan kewangan.
“Kadang-kadang bajet untuk makan terhad, tapi dengan adanya Makanan Rahmah ini, saya dapat makan dengan cukup dan tidak risau soal kos. Ia memang sangat membantu,” katanya ketika ditemu bual di lokasi kafe.
Selain memberi manfaat kepada pelajar, program ini juga bertujuan mendidik komuniti kampus mengenai nilai empati dan tolong-menolong. Pihak pengurusan kafe menyatakan bahawa program ini dijalankan secara sukarela dan disokong oleh beberapa pelajar serta staf yang turut menyumbang bahan makanan atau dana bagi memastikan keberlangsungan program.
Penglibatan pelajar dalam program ini bukan sahaja memastikan mereka mendapat makanan yang berkhasiat, malah menggalakkan budaya saling bantu-membantu antara rakan sekelas dan fakulti. Program ini juga menjadi platform untuk pelajar menghargai nikmat makanan dan memupuk nilai sosial yang positif di kampus.
Inisiatif menyediakan “Makanan Rahmah” di kafe KHAR UPSI menunjukkan kepedulian komuniti kampus terhadap pelajar yang memerlukan. Program ini bukan sahaja membantu dari segi kebajikan, tetapi turut menanam nilai sosial, empati, dan tanggungjawab bersama dalam kalangan pelajar.

