Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon, Muhammad Zulikhwan bin Kiprawi

Tanjong Malim, 17 Januari 2026 – Kursus Pemantapan Organisasi (KPO) anjuran Majlis Tertinggi Jabatan Bendahari Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya dilaksanakan sebagai satu inisiatif strategik dalam memperkasa kepimpinan serta memantapkan pengurusan organisasi mahasiswa Pendidikan Khas. Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang ini melibatkan penyertaan barisan kepimpinan persatuan termasuk Majlis Tertinggi dan sembilan Exco PM2PK.

Penganjuran kursus ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada barisan kepimpinan persatuan berkaitan peranan, tanggungjawab serta fungsi masing-masing dalam memastikan pengurusan persatuan berjalan secara sistematik, berkesan dan berintegriti. KPO juga dilihat sebagai platform penting dalam membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi berkesan serta pengurusan kerja berpasukan dalam kalangan mahasiswa.

Menurut penasihat Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas, Dr. Vestly Kong Liang Soon, penganjuran program seumpama ini amat penting dalam melahirkan pemimpin mahasiswa yang berkualiti dan berdaya saing. Beliau menegaskan bahawa kepimpinan mahasiswa bukan sahaja tertumpu kepada jawatan yang disandang, malah menuntut tahap komitmen, disiplin serta keupayaan bekerja secara kolektif demi kepentingan organisasi.

“Program seperti Kursus Pemantapan Organisasi ini memberi ruang kepada mahasiswa untuk memahami peranan sebenar mereka sebagai pemimpin persatuan. Kepimpinan yang berkesan bermula dengan kefahaman terhadap tanggungjawab dan kesediaan untuk bekerjasama sebagai satu pasukan,” ujar beliau dalam ucapannya semasa sesi pembukaan program.

Sepanjang pelaksanaan kursus, para peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian berbentuk latihan dalam kumpulan, sesi pembentangan oleh sembilan Exco PM2PK serta pembentangan oleh Majlis Tertinggi persatuan. Pendekatan ini bertujuan meningkatkan kefahaman peserta terhadap struktur organisasi persatuan serta memperkukuh kemahiran merancang dan melaksanakan aktiviti dengan lebih teratur.

Selain itu, kursus ini turut memberi penekanan terhadap pembentukan sahsiah, keterampilan diri dan kemahiran interpersonal dalam kalangan kepimpinan persatuan. Melalui aktiviti interaktif dan perbincangan berkumpulan, peserta berpeluang berkongsi idea, pandangan serta pengalaman masing-masing, sekali gus mewujudkan kesepaduan dan kesefahaman dalam kalangan barisan kepimpinan PM2PK.

Penganjuran KPO ini juga berperanan dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli persatuan serta memupuk semangat kerja berpasukan yang lebih kukuh. Hubungan yang baik dalam kalangan kepimpinan diyakini mampu menyumbang kepada pengurusan persatuan yang lebih harmoni dan produktif sepanjang tempoh sidang.

Secara keseluruhan, Kursus Pemantapan Organisasi (KPO) anjuran Majlis Tertinggi Jabatan Bendahari PM2PK ini berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam memperkasa kepimpinan mahasiswa Pendidikan Khas UPSI. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform berkesan dalam melahirkan pemimpin mahasiswa yang berwibawa, beretika dan bersedia menyumbang kepada pembangunan universiti serta masyarakat.