Galeri Razak Sensei yang berada di Muzium Pendidikan Nasional, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.Galeri Razak Sensei yang berada di Muzium Pendidikan Nasional, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Oleh Tajul Shuhaizam Said dan Bazli Razak

TANJONG MALIM, 30 Januari 2026 — Usaha Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memupuk jiwa warganya demi kegemilangan 2026 diterjemahkan menerusi penubuhan Galeri Razak Sensei di bawah kelolaan Muzium Pendidikan Nasional (MPN), Institut Peradaban Melayu (IPM), sebagai inisiatif berteraskan nilai, sejarah dan kemanusiaan sejagat dalam pembinaan jiwa pendidik merentas generasi.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata pembinaan jiwa pendidik merupakan asas kepada kelestarian universiti pendidikan itu menjelang 2026, sejajar dengan aspirasi melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, malah beretika dan berteraskan nilai kemanusiaan.

“UPSI tidak hanya melahirkan graduan berpengetahuan, tetapi pendidik yang berjiwa, beretika dan berteraskan nilai kemanusiaan sejagat.

“Inisiatif seperti MPN dan Galeri Razak Sensei mencerminkan komitmen UPSI terhadap pendidikan berkualiti, keamanan dan kemanusiaan, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh) serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat.

Menurut Md Amin, salah satu inisiatif utama MPN ialah penubuhan Galeri Razak Sensei yang dijadualkan dibuka kepada umum pada Mac 2026 sebagai pameran memorial dan pendidikan yang mengangkat ketokohan Allahyarham Razak Sensei sebagai pendidik unggul, selain simbol ketahanan jiwa, kelestarian ilmu dan kemanusiaan sejagat.

Razak Sensei merupakan antara pelajar awal Sultan Idris Training College (SITC), institusi yang menjadi asas penubuhan UPSI, selain dikenali sebagai mangsa terselamat tragedi bom atom Hiroshima, satu peristiwa kemanusiaan yang membentuk keteguhan jiwa serta komitmen mendalam beliau terhadap keamanan dunia dan pendidikan sebagai medium pemulihan pascakonflik.

Tambah beliau, penubuhan galeri berkenaan turut mendapat sokongan penuh waris Allahyarham, khususnya Tan Sri Dzulkipli, yang menyumbangkan artifak dan bahan pameran asli merangkumi dokumen peribadi, foto sejarah, manuskrip penulisan serta koleksi buku yang merakam pemikiran, perjuangan dan ketokohan Razak Sensei sebagai pendidik berjiwa besar.

“Trauma peperangan tidak mematahkan semangat Razak Sensei, sebaliknya melahirkan seorang pendidik yang menjadikan pendidikan sebagai jalan penyembuhan, pembangunan insan dan keamanan sejagat, di samping berperanan sebagai antara penggerak awal hubungan Malaysia–Jepun pascaperang melalui pendidikan dan pertukaran budaya,” ujar beliau.

Prof. Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak (tengah) yang merupakan anak kepada Razak Sensei ketika menyerahkan koleksi gambar kepada Prof. Dr. Tajul Shuhaizam (kanan).
 
Galeri Razak Sensei yang berada di Muzium Pendidikan Nasional, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.
 

Sementara itu, Pengarah IPM, Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Said berkata penglibatan langsung waris memastikan galeri berkenaan dibangunkan berasaskan sumber primer yang sahih dan berautoriti.

“Galeri Razak Sensei bukan sekadar ruang pameran, tetapi arkib hidup yang memindahkan nilai pendidikan berkualiti, keamanan, ketahanan jiwa dan kemanusiaan melalui legasi seorang pendidik,” katanya.

P’embukaan galeri itu dijangka menjadi antara mercu tanda penting UPSI menjelang 2026, sekali gus mengukuhkan peranan MPN sebagai pusat rujukan warisan pendidikan negara dan membuktikan bahawa kegemilangan universiti bermula daripada ketokohan pendidik yang berjiwa, berakar pada nilai kemanusiaan dan berpaksikan kelestarian sejagat,” katanya.