Kakitangan Bahagian Audit Dalam UPSI Bersama Pengerusi MKAD (lima dari kiri), Pengerusi JPQ (tiga dari kiri), Pengerusi JPK (dua dari kiri) dan Ahli JSIKakitangan Bahagian Audit Dalam UPSI Bersama Pengerusi MKAD (lima dari kiri), Pengerusi JPQ (tiga dari kiri), Pengerusi JPK (dua dari kiri) dan Ahli JSI

TANJUNG MALIM, 12 Februari 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Strategik dan Inovasi (JSI) serta sesi pemurnian Pelan Strategik 2026–2030 Majlis Ketua Audit Dalam Universiti Awam (MKAD) yang berlangsung pada 11 dan 12 Feb lepas.

Mesyuarat itu dipengerusikan Ketua Audit Dalam UPSI, Hanafi Junit, dan disertai enam Ketua Audit Dalam universiti awam iaitu Sabarudin Ramli (Universiti Malaysia Sabah), Abdul Hadi Nayan (Universiti Sultan Zainal Abidin), Zanita Zakaria (Universiti Sains Malaysia), Muhamad Rozi Suddin (Universiti Malaysia Kelantan), Ainnul Ezwan Hassan (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia) serta Intan Shafinaz Anwar (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia).

Menurut kenyataan, mesyuarat JSI bertujuan menyelaras serta memastikan pencapaian objektif strategik setiap jawatankuasa selaras dengan Pelan Strategik MKAD Universiti Awam 2026–2030, di samping memperkukuh inovasi dalam pengauditan melalui adaptasi teknologi terkini dan amalan terbaik.

Semakan akhir dan pemurnian Pelan Strategik MKAD 2026–2030 bersama Pengerusi MKAD, Mohd Akram Abdul Razak (dua dari kiri)
Mesyuarat JSI yang dipengerusikan oleh Encik Hanafi bin Junit (lima dari kiri)
Pengerusi MKAD, Pengerusi JPQ, Pengerusi JPK dan Ahli JSI dibawa melawat Pejabat Bahagian Audit Dalam UPSI

Selain itu, semakan akhir dan pemurnian Pelan Strategik MKAD 2026–2030 serta penelitian terhadap laporan pencapaian pelan strategik 2017–2025 turut dilaksanakan.

Semakan akhir itu dihadiri Pengerusi MKAD Mohd Akram Abdul Razak (Ketua Audit Dalam Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah), Pengerusi Jawatankuasa Pematuhan Kualiti Sharul Azman Ramli (Ketua Audit Dalam Universiti Putra Malaysia) serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kompetensi Mohd Riduan Mohamed Rakhazali (Ketua Audit Dalam Universiti Malaysia Terengganu).

Pelan Strategik MKAD 2026–2030 merangkumi empat bab utama iaitu pendahuluan, analisis senario persekitaran, hala tuju strategik serta strategi dan formula tindakan.

Hanafi berkata mesyuarat berkenaan menjadi platform penting untuk memperkasakan inovasi dalam pengauditan dan memperkukuh sistem pengurusan audit universiti awam.

Sementara itu, Mohd Akram berkata pelan strategik berkenaan akan menjadi pemangkin kepada pencapaian visi dan misi MKAD, seterusnya meningkatkan kecekapan, keberkesanan serta kualiti audit.

“Sasaran pencapaian yang ditetapkan mengambil kira keperluan peningkatan kualiti audit dalam, pengukuhan kompetensi juruaudit serta penyesuaian terhadap perubahan teknologi dan keperluan kawal selia semasa,” katanya.