Dr. Nasrul Hakim Salleh
Isu provokasi agama dilihat sedikit memuncak kebelakangan ini. Walaupun isu tersebut boleh dianggap terpencil dan tidak mewakili semua pihak yang terlibat, namun permasalahan tersebut perlu diatasi dengan pendekatan yang berhemah. Malaysia merupakan negara yang unik kerana dibentuk daripada kepelbagaian yang meliputi agama, bangsa, budaya, dan kepercayaan. Justeru, kepelbagaian ini menuntut semua pihak untuk sentiasa berhemah dalam melakukan apa jua tindakan bagi menjamin keharmonian nasional.
Bagi mengelakkan berlakunya pergeseran yang melibatkan isu-isu sensitif dalam kalangan masyarakat Malaysia, generasi belia perlu dibentuk dari awal. Pembangunan karakter generasi belia menjadi satu keperluan yang mendesak untuk dilaksanakan segera. Hal ini kerana generasi belialah yang akan menggantikan generasi dewasa hari ini, dan sudah pasti corak pemikiran yang sama akan digunakan oleh mereka dalam menilai sesuatu isu apabila sudah dewasa kelak. Malangnya, Indeks Belia Malaysia (IBM) 2023 yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) menunjukkan sesuatu yang sangat mengejutkan.
Skor domain sosialisasi politik, kenegaraan dan demokrasi serta kesejahteraan mental dan fizikal menunjukkan penurunan yang ketara. Paling membimbangkan ialah skor domain sosialisasi politik, kenegaraan dan demokrasi yang menunjukkan pola menurun selama tiga tahun berturut-turut iaitu 60.31 pada tahun 2021, 58.64 pada tahun 2022 dan 58.63 pada tahun 2023. Lebih menakutkan apabila indikator patriotisme dan semangat perpaduan turut mengalami pola penurunan skor yang berterusan sepanjang tempoh tersebut. Skor domain patriotisme mencatatkan 65.40 pada tahun 2021, sebelum jatuh ke 63.37 pada tahun 2022 dan terus merosot kepada 62.54 pada tahun 2023. Manakala skor semangat perpaduan pula menunjukkan trend serupa iaitu 79.89 pada tahun 2021, 77.44 pada tahun 2022 dan 74.57 pada tahun 2023.
Harus diingat bahawa kesemua domain dan indikator tersebut merupakan aspek asas yang membentuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Andaikata isu ini tidak diberikan perhatian serius, sebenarnya kita sedang memeram bom jangka yang hanya menunggu masa untuk meletus. Dalam konteks ini, pembangunan karakter generasi belia perlu diberikan keutamaan bagi mengelakkan provokasi agama, budaya, dan kepercayaan menjadi lebih parah. Berdasarkan data IBM 2023 tersebut, tidak mustahil pergeseran dan konflik yang lebih besar akan berlaku pada masa hadapan kerana generasi belia yang bakal mewarisi peranan hari ini sudah semakin menipis nilai patriotisme dan semangat perpaduannya.
Ini merupakan fakta pahit yang perlu ditelan oleh semua pihak. Generasi belia kita mengalami kerapuhan jati diri yang membimbangkan. Perkara tersebut dilihat tidak selari dengan skor domain pendidikan yang sebaliknya mencatatkan peningkatan setiap tahun. Ini memberi isyarat bahawa generasi belia mungkin lebih mementingkan pencapaian akademik atau peribadi semata-mata, atau dalam kata lain, mula bersikap individualistik sehingga mengabaikan tanggungjawab sosial terhadap negara.
Sebenarnya, kerajaan telah mengambil langkah proaktif bagi menyatukan generasi belia Malaysia menerusi peluncuran Dasar Belia Malaysia (DBM). Konsep teras atau intipati pembentukan DBM adalah berteraskan semangat Pembangunan Belia Positif (PYD). Konsep PYD asal yang diperkenalkan oleh Richard Lerner hanya mengandungi aspek 5C, namun DBM mendokong prinsip 8C yang lebih komprehensif iaitu penyayang (caring), cekap (competent), perwatakan (character), keyakinan (confident), kerjasama (cooperation), bertimbang rasa (considerate), kompetitif (competitive) dan sumbangan (contribution). DBM secara jelas menyatakan bahawa pembangunan belia positif Malaysia perlu dibangunkan berdasarkan prinsip 8C ini memandangkan kepelbagaian unik yang wujud dalam masyarakat kita.
Justeru, sudah tiba masanya semua pihak yang berkepentingan untuk duduk semeja dan merangka strategi ampuh bagi membangunkan semula karakter belia hari ini. Data daripada IYRES sangat jelas menunjukkan bahawa kita tidak boleh lagi berlengah. Ketepikan seketika fahaman dan ideologi masing-masing demi memastikan kita dapat membentuk kembali generasi belia yang benar-benar cintakan negara dan sarat dengan semangat perpaduan yang jitu.
