oleh Puan Suriani Shariff , Puan Nur Fatihah Nasharuddin

TANJONG MALIM, 24 Julai 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh agenda pembangunan kepimpinan akademik negara menerusi penganjuran Kursus Persona of Academic Leaders Siri 1 Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Sri Tanjung, UPSI.

Program anjuran UPSI ini telah menghimpunkan seramai 37 orang peserta, terdiri daripada 34 warga akademik UPSI serta tiga peserta luar yang mewakili Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Penyertaan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi ini mencerminkan keyakinan terhadap kepakaran UPSI dalam membangunkan kompetensi kepimpinan akademik serta memperkukuh jaringan kolaborasi antara universiti.

Kursus ini dikendalikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof. Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun, yang berkongsi pengalaman serta pandangan berkaitan pembentukan persona seorang pemimpin akademik yang berkesan.

Sepanjang sesi selama enam jam, beliau menekankan bahawa kepimpinan yang cemerlang bermula dengan kefahaman terhadap potensi diri, pembinaan identiti kepimpinan yang autentik serta keupayaan memimpin berasaskan nilai dan integriti.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada pendekatan berasaskan kekuatan (strengths-based approach) dan kepentingan pemikiran strategik dalam menyelaraskan tindakan serta membuat keputusan yang selari dengan aspirasi dan hala tuju universiti.

Melalui pendekatan ini, peserta berpeluang menilai semula gaya kepimpinan masing-masing, mengenal pasti kekuatan diri dan merangka strategi untuk meningkatkan keberkesanan kepimpinan dalam organisasi.

Walaupun kursus ini merupakan salah satu syarat wajib bagi proses kenaikan pangkat kakitangan akademik UPSI, penyertaan daripada universiti luar membuktikan bahawa pembangunan kepimpinan akademik merupakan keperluan bersama yang merentasi sempadan institusi.

Program ini sekali gus menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam melahirkan pemimpin akademik yang lebih kompeten serta berdaya saing.

Sementara itu, Dekan Fakulti Industri Asas Tani, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Raimi Mohamed Redwan menyifatkan program ini sebagai platform yang amat bermanfaat khususnya kepada pemimpin akademik muda.

Menurut beliau, program ini memberi peluang untuk mempelajari pendekatan kepimpinan daripada tokoh yang berpengalaman seperti Prof. Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun dan wajar diperluaskan kepada lebih banyak institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Sementara itu, Dr. Azura Abdul Razak dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyifatkan kursus ini sebagai pengisian yang sangat bermakna dan menyeluruh.

Beliau berpandangan bahawa ilmu yang dikongsikan bukan sahaja relevan kepada pemimpin akademik yang baharu dilantik, malah turut memberi nilai tambah kepada pemimpin berpengalaman untuk menilai keberkesanan kepimpinan mereka dalam membimbing warga kerja serta memacu kecemerlangan organisasi.

Bagi Prof. Madya Dr. Nurlida Basir dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), kursus ini memberikan ruang untuk melakukan refleksi kendiri terhadap amalan kepimpinan sedia ada.

Menurut beliau, bagi individu yang telah lama memegang jawatan kepimpinan, program seperti ini berfungsi sebagai satu proses semakan semula yang membantu memastikan pendekatan kepimpinan sentiasa relevan, berkesan dan selari dengan keperluan semasa.

Penganjuran Kursus Persona of Academic Leaders Siri 1 Tahun 2026 mencerminkan komitmen berterusan UPSI dalam memperkukuh pembangunan kepimpinan akademik yang holistik, progresif dan berimpak tinggi.

Melalui penglibatan peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi, program ini bukan sahaja memperkasa kompetensi kepimpinan warga akademik, malah menjadi platform strategik untuk memperluas jaringan kolaborasi, berkongsi amalan terbaik dan memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara.

Selaras dengan aspirasi UPSI untuk melahirkan pemimpin akademik yang berwibawa, berintegriti dan berpandangan jauh, program seperti ini diharap dapat melahirkan barisan pemimpin yang mampu menerajui kecemerlangan institusi serta menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.