Oleh: Muhammad Fawwaz Izzat Faizul Aizar dan Dr. Nur Ainul Basyirah Alias

Tanjong Malim, 18 Disember – Persatuan Pendidikan Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (PPI) bagi sidang 2024/2025 telah menganjurkan sebuah program ilmiah yang sangat menarik dan bermanfaat iaitu Bicara Ilmiah: Mengenal Ekstremisme dan Pengkultusan. Program ini telah dilaksanakan di Dewan Kuliah Pusat 3 (DKP 3) dan turut melibatkan penyertaan aktif dari mahasiswa serta pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris. Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Nur Ainul Basyirah Alias yang merupakan penasihat kepada Persatuan Pendidikan Islam, UPSI.

Ekstremisme agama dan pengkultusan pemimpin merupakan fenomena yang semakin mendapat perhatian ramai apabila tular mengenai sebuah gerakan ajaran sesat di negara kita telah berkembang dengan banyaknya pengikut. Program bicara ilmiah ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada ciri-ciri yang dibawa oleh gerakan ajaran sesat dengan memberikan pemahaman yang mendalam kepada masyarakat tentang bahaya ekstremisme dan pengkultusan.

Program ini telah menjemput panel berpengalaman yang juga penulis buku prolifik dan Eksekutif Produser di TV al-Hijrah serta pensyarah sambilan di Universiti Malaya, Zabidi Mohamed. Beliau sangat berpengalaman dalam mengemukakan perspektif ajaran sesat daripada pengalaman peribadi dan turut terlibat dengan agensi kerajaan mahupun swasta dalam membendung hal ini.

Melalui penganjuran program ini, sedikit sebanyak dapat memberi penerangan yang jelas tentang bagaimana pengaruh ajaran sesat ini berkembang, serta impak negatifnya terhadap individu dan masyarakat. Program ini juga bertujuan untuk membuka mata masyarakat tentang tanda-tanda ekstremisme dan pengkultusan serta mendorong mereka untuk lebih berhati-hati dan berwaspada terhadap ajaran yang meragukan. Rumusannya, program seperti ini dapat meningkatkan tahap kefahaman dalam kalangan mahasiswa UPSI dan masyarakat tentang bahayanya ketaksuban terhadap suatu ajaran dan amalan tanpa panduan.

Umat Islam hendaklah lebih berhati hati dengan bersikap tabayyun dan menyelidik sebelum mengikut membuta tuli di sebalik perkataan agama dan amal baik. Semoga program ini dapat memberi kesedaran kepada mahasiswa UPSI dan masyarakat bahawa pentingnya ajaran Islam berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah yang sahih dan menjadikannya sebagai panduan dalam kehidupan.