Profesor Ishak menerima Anugerah Penulis Prolifik Terbaik

Oleh: Sofiatul Nazira Ahmad Shubki

Putrajaya,18 Disember 2024- Majlis Anugerah MAPIM-KPT kali ke-15 yang berlangsung di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud bagi mengiktiraf 41 individu yang terlibat dalam mengangkat industri penerbitan ilmiah tempatan.

YB Datuk Ts. Mustapha semasa ucapan perasmian

YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud dalam ucapannya kepada semua penerima anugerah menekankan kepentingan penerbitan ilmiah sebagai pemangkin perkembangan ilmu pengetahuan dan inovasi di negara ini. Justeru, beliau menyeru agar hasil penerbitan ilmiah dinilai bukan sahaja pada output tetapi juga keberhasilannya kepada masyarakat dan negara.

“Penerbitan ilmiah memainkan peranan penting dalam menghubungkan ilmu pengetahuan dengan masyarakat, membina jaringan ilmiah kukuh serta menyebarluaskan penemuan dan idea baharu,” katanya.

Malah, beliau juga menyarankan penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) secara beretika dalam penerbitan ilmiah demi kekal relevan di peringkat global.

Sebanyak 20 kategori anugerah disampaikan, merangkumi Buku Ilmiah Terbaik, Makalah Jurnal Terbaik, Reka Bentuk Buku Terbaik dan Penerbit Prolifik Terbaik. Majlis ini turut memberi penghargaan kepada individu yang pernah menerajui penerbit anggota MAPIM dalam tempoh tiga  tahun yang lepas termasuk mantan Pengarah Penerbit UPSI, Profesor Dr. Rosmilah Misnan.

Dalam majlis ini, Penerbit UPSI merangkul Anugerah Utama MAPIM melalui penulisnya, Profesor Dr. Ishak Saat yang dinobatkan Anugerah Penulis Prolifik Terbaik.  Kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan terbesar yang membariskan Penerbit UPSI bersama penerbit-penerbit akademik ulung tanah air. Pengiktirafan ini juga menyuntik semangat kepada komuniti akademik di Penerbit UPSI untuk terus melahirkan karya berkualiti, sekali gus meletakkan Malaysia di peta penerbitan global.

Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah, Pengarah Pejabat Karang Mengarang (PKM) bersama para penerima anugerah dan kakitangan PKM

Hadir sama dalam majlis tersebut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman dan Pengerusi MAPIM, Azman Hashim.