Oleh: Dr. Samsuddin Abd Hamid

Kuala Lumpur,28 November 2024 – Dalam usaha meningkatkan kualiti kepimpinan pendidikan dan melahirkan generasi masa depan yang holistik, Pensijilan Profesional Ulul Albab berjaya dianjurkan oleh Pusat Ulul Albab Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan jayanya dengan mengumpulkan Penyelaras Program Tamhidi dan Program Ulul Albab dari MRSM seluruh negara. Program ini bertujuan memperkukuhkan integrasi ilmu dalam sistem pendidikan, telah memfokuskan kepada pendekatan holistik berteraskan nilai quranik, ensiklopedik, dan ijtihadik berlangsung pada 25 hingga 28 November lalu.

Program ini merangkumi pelbagai sesi bengkel, ceramah, dan aktiviti yang memberi peluang kepada para peserta untuk memahami dan mengaplikasikan konsep pendidikan bersepadu yang menggabungkan ilmu duniawi dan ukhrawi, seperti yang digariskan dalam Al-Quran.

Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Salleh, menyatakan bahawa tujuan utama program ini adalah untuk menyediakan pentadbir dan guru dengan kemahiran kepimpinan yang mampu menghubungkan keilmuan moden dengan prinsip keimanan yang kukuh. “Melalui pendekatan ini, kami ingin melahirkan pemimpin pendidikan yang dapat memupuk generasi ulul albab-generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga bijaksana dan berhikmah dalam setiap aspek kehidupan mereka,” katanya.

Sebagai teras program, konsep quranik diketengahkan untuk menginspirasikan peserta agar memahami pentingnya refleksi mendalam terhadap kebesaran ciptaan Allah. Peserta didedahkan kepada pemahaman bahawa generasi ulul albab ialah golongan yang mampu melihat hubungan antara ilmu dan kebesaran Tuhan, memupuk sikap syukur, serta membentuk keimanan yang mantap. Program ini memberi inspirasi kepada peserta untuk menjadi pemimpin pendidikan yang lebih berwawasan dan mampu menjana berpaksikan Al-Quran dan prinsip hikmah.

Selain itu, nilai-nilai kepemimpinan juga dihubungkan dengan prinsip ensiklopedik-keupayaan untuk menguasai ilmu secara meluas dan ijtihadik, iaitu kebolehan untuk menganalisis secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan masalah. Melalui sesi bengkel, peserta mempelajari bagaimana sistem pendidikan dengan Model Ulul Albab dapat terus relevan dalam melahirkan insan holistik.

Program ini menutup tirainya dengan harapan besar bahawa melalui pemimpin pendidikan yang berwawasan, misi melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak, dan berhikmah kini perlu disinergi oleh pelbagai pihak dalam pelbagai bidang. Modul Pensijilan Professional Ulul Albab perlu menjadi sebahagian daripada kursus pembangunan profesional berterusan bagi semua guru. Program susulan juga akan dirancang bagi memastikan kesinambungan pendekatan pendidikan bersepadu ini. Guru sebagai tulang belakang sistem pendidikan perlu terus diperkasa agar misi melahirkan generasi Ulul Albab dapat direalisasikan sepenuhnya.