Oleh: Ts. Dr. Mohd Amirul Hussain

Tanjong Malim- Bunga matahari (Helianthus annuus) memiliki pesona yang khas dan menarik, membuatnya menjadi salah satu bunga kegemaran untuk dijadikan latar belakang bagi penggemar yang suka ‘berOOTD’ untuk dikongsi dalam media sosial. Bunga matahari sering dianggap sebagai simbol kebahagiaan, keceriaan, dan membawa semangat positif. Kehadirannya dapat memberikan sentuhan positif serta meningkatkan mood bagi individu. Bagi pencinta bunga matahari, mereka boleh datang sendiri ke lokasi ladang bunga matahari milik Jabatan Sains Pertanian, yang terletak di Unit Hortikultur Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Pada mulanya, penanaman tanaman asal Benua Amerika ini hanyalah untuk tujuan proses pembelajaran dan pengajaran bagi pelajar yang mengambil kursus Asas Reka Bentuk Landskap di FTV, UPSI. Namun tanpa diduga keindahan flora berwarna kuning jingga ini tular seketika di  media sosial sehingga menjadikan tarikan terbaru untuk port ‘berOOTD’ di Tanjong Malim. Dan dari sini lah fakulti mendapat idea untuk meraikan hasil kerja pelajar agar ianya dapat dijadikan manfaat positif serta sumber tarikan Agro pelancongan pendidikan terbaru di Tanjong Malim. 

Kini orang awam dan penduduk sekitar Tanjong Malim tidak perlu lagi pergi jauh ke luar negara untuk menikmati pemandangan ladang bunga matahari kerana UPSI menawarkan pengalaman yang sama.  Lokasi ladang bunga matahari yang strategik berlatarbelakangkan panorama bukit bukau dan Banjaran Titiwangsa pastinya menambahkan seri bagi si kaki OOTD yang sukakan kelainan di dalam setiap foto mereka. Selain menjadi port OOTD, pengunjung juga berpeluang mempelajari proses penanaman pokok bunga matahari serta tip penting dalam penjagaan pokok bunga matahari dari pakar dan pelajar.

Menurut ketua program AgriTourism Park@FTV dan selaku pensyarah kanan yang mengajar kursus Asas Reka Bentuk Landskap, Ts. Dr. Mohd Amirul Hussain berkata, kebiasaannya bagi kaki OOTD yang sukakan keindahan flora berwarna kuning jingga ini, mereka pasti akan ke Lopburi, Thailand ataupun ke Bagan Datoh untuk merakam momen indah sambil dikelilingi pokok bunga matahari yang kembang mekar. Pada peringkat permulaan, pelbagai varian bunga matahari ditanam namun hanya beberapa varian sahaja yang sesuai ditanam dan mampu kembang mekar hampir 2 hingga 4 minggu bergantung kepada pengaruh cuaca di Tanjong Malim.  Varian yang dipilih adalah jenis Giant Hybrid dan Black Oil Seed kerana tahap ketahanan dan rupa yang lebih menyerlah berbanding varian lainnya serta saiznya yang lebih besar dan tinggi.

Untuk peringkat permulaan ini, ladang bunga matahari dibuka kepada orang awam untuk datang merakam foto kenangan bermula dari Disember 2024 hingga awal Februari 2025 setiap hari Isnin hingga Khamis dari pukul 10 pagi hingga 3 petang. Oleh kerana jangka hayat pokok bunga matahari yang singkat dan tidak mahu menghampakan pengunjung yang datang, pihak fakulti menggalakkan pengunjung untuk menghubungi menerusi DM Facebook rasmi FTV, UPSI untuk maklumat lanjut. 

Selain itu, pihak fakulti tidak mengenakan sebarang bayaran masuk kepada pengunjung yang ingin datang untuk berOOTD di ladang bunga matahari pada ketika ini. Namun, bayaran kemasukan akan dikenakan kepada pengunjung pada musim berbunga akan datang bagi menampung kos pengurusan dan pengoperasian ladang bunga matahari ini. Ini kerana kos penjagaan pokok bunga matahari sangat tinggi kerana pokok mudah diserang serangga perosak dan perlu dijaga dengan teliti agar tidak mati selain faktor jangka hayat pokok yang singkat.

INFO: Proses Penanaman Bunga Matahari

Proses penanaman bunga matahari di ladang ini melibatkan beberapa fasa penting:

  1. Penyediaan Benih
    • Benih bunga matahari direndam selama 30-45 minit untuk melembutkan kulit luar, memudahkan percambahan.
  2. Penyemaian
    • Sabut kelapa (cocopeat) digunakan sebagai medium tanaman di dalam dulang semaian, memastikan pengudaraan yang baik.
    • Benih yang direndam diletakkan di atas medium tanaman dan disiram secukupnya.
  3. Pemindahan Anak Benih
    • Setelah 4-6 helai daun tumbuh, anak benih dipindahkan ke batas tanaman bagi mengelakkan pertumbuhan terbantut.
  4. Fasa Tumbesaran dan Pembungaan
    • Penjagaan rapi termasuk penyiraman, pemberian baja, dan pengawasan terhadap serangan serangga perosak seperti belalang dan koya.
    • Bunga matahari mula mekar pada minggu ke-11 hingga ke-14 dan boleh kekal mekar selama 2-4 minggu bergantung kepada cuaca.