Peserta Ladies Talk Fiqh Dawa bergambar bersama Ustazah Junaidah

Oleh: Nik Muhammad Arif Nik Ibrahim, Siti Maisarah Sulaiman & Ummikalsum Mat Lazim

Tanjong Malim, 28 Disember 2024 – Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program Ladies Talk Fiqh DaWa bertemakan ‘Menyelami Ilmu Fiqh Darah Wanita dalam Perspektif Islam’. Program ini berlangsung di Surau Al-Falah, Kolej Aminuddin Baki (KAB), UPSI. Program ini bertujuan memberikan kefahaman yang mendalam kepada warga kampus mengenai fiqh wanita, khususnya isu berkaitan darah seperti haid, nifas, dan istihadah. Acara ini dianjurkan oleh Exco Akademik dan Kerjaya, Persatuan Tahfiz Qiraat(PTQ), UPSI, dengan sokongan daripada Akademi Pondok Bitara, Persatuan Pendidikan Islam, Persatuan Bahasa Arab, Persatuan Mahasiswa Sejarah, Persatuan Geografi, dan Persatuan Pengajian Malaysia.

Ustazah Junaidah memberikan perkongsian tentang Fiqh Darah Wanita kepada para peserta

Program ini turut diserikan dengan kehadiran penceramah yang berpengalaman dan bertauliah, iaitu Ustazah Junaidah Juni. Beliau merupakan seorang pendidik di Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 dan juga pemegang tauliah mengajar bagi negeri Perak. Dengan latar belakang akademik yang cemerlang, Ustazah Junaidah memiliki Ijazah Sarjana Muda Usuluddin daripada Universiti Al-Azhar, Mesir. Menariknya, program ini menggunakan buku rujukan bertajuk Fiqh Darah Haid, Nifas dan Istihadhah, yang merupakan terjemahan daripada kitab Al-Taqrirat Al-Sadidah, sebuah karya masyhur dalam perbincangan ilmu fiqh.

Program ini turut disesuaikan dengan beberapa Sustainable Development Goals (SDG) iaitu SDG 4 (Pendidikan Berkualiti): Memupuk mahasiswa dalam mendalami ilmu agama untuk kepentingan diri dan Masyarakat serta SDG 16 ( Keamanan, keadilan dan Pertubuhan Kukuh): Memupuk semangat kerjasama dan kerja berpasukan dalam kalangan pelaksana.

Pada penghujung program, peserta diberikan peluang istimewa untuk mengemukakan soalan bagi mendapatkan jawapan dan pencerahan langsung daripada penceramah, menjadikan sesi ini lebih interaktif dan bermanfaat.

Ucapan Pengarah Program Ladies Talk Fiqh Dawa, Nik Arif

Program ini berjaya meningkatkan kefahaman tentang fiqh wanita, khususnya isu haid, nifas, dan istihadah, di samping memperkukuh minat mahasiswa terhadap ilmu agama. Selain itu, ia turut mengeratkan hubungan antara mahasiswa dari pelbagai persatuan di UPSI, selaras dengan matlamat melahirkan generasi pendidik yang berpengetahuan agama kukuh.