Oleh: Lo Yi Wen dan Dr. Nor Syazwani Mat Salleh

Tanjong Malim, 21 Disember 2024 – Kelab Reka Bentuk dan Warisan (KEREBEWA) Sidang 2024/2025 telah menganjurkan Program Estetika Lakar Lukis yang berlangsung di Laman Arca, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Program ini berlangsung selama sehari dengan penglibatan seramai  30  orang peserta iaitu pelajar dari pelbagai fakulti Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Program ini dihadiri oleh dua orang panel jemputan yang berpengalaman dalam lakaran iaitu Dr. Muhammad Safwan Shariff  dan Cikgu Mohamad Nazri Russalan Zulkenan yang mana kedua-duanya merupakan Alumni Pendidikan Seni (AT23), Jabatan Seni dan Reka Bentuk (JSRB), Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), UPSI.

Mengulas mengenai Program Estetika Lakar Lukis ini, menurut Pengarah Program, Muhammad Wafiuddin Bin Rosdi berkata, program ini bukan sahaja dapat memberi peluang kepada peserta untuk mengekspresi diri melalui seni visual malah dapat menggalakkan daya imaginasi dan kreativiti peserta dalam suasana santai.

Selain daripada itu, program ini dapat mengasah kemahiran motor halus peserta melalui aktiviti melakar. Justeru, dengan adanya program sedemikian dapat meningkatkan kefahaman individu dalam teori seni.

Selain itu, Penasihat Program, Dr. Nor Syazwani Mat Salleh pula berpendapat bahawa program Estetika Lakar Lukis ini telah memberi peluang dan ruang kepada pelajar UPSI yang berminat dengan seni visual untuk sama-sama melakar dan melukis bersama cikgu Sazri iaitu guru pendidikan seni visual dari SMK Taman Tun Aminah, Johor Bahru.

Beliau berkata, nilai estetika sangat sinonim dalam bidang seni visual yang membawa maksud kepekaan persepsi pancaindera manusia (sense of perception) yang digunakan ke dalam semua bidang seni. 

Kefahaman nilai estetika ini penting kerana memberi makna manifestasi keindahan sejati dalam kesenian. Melalui program ini, peserta telah didedahkan dengan penggunaan bahan charcoal, oil pastel dan teknik lukisan yang tepat bagi menghasilkan sebuah lukisan yang bermakna.

Program ini juga telah berlangsung dengan jayanya dalam keadaan yang santai serta memberi output lukisan yang bersahaja tetapi bermakna.

Objektif utama program ini telah tercapai yang mana peserta dapat memahami dan menerangkan pengalaman estetik yang berkaitan dengan perkembangan artistik yang dipelajari.

Perasmian program Estetika Lakar Seni ini telah disempurnakan oleh Dr. Muhammad Safwan Shariff yang juga selaku ahli bersekutu Kelab Reka Bentuk dan Warisan (KEREBEWA).

Beliau telah bersama-sama dalam program ini dari awal sehingga tamatnya program. Beliau juga turut meluahkan rasa bersyukur dan gembira kerana program ini dapat dijalankan seperti yang dirancang.

Beliau berpendapat bahawa Program Estetika Lakar Lukis dapat menggalakkan mahasiswa dan mahasiswi menjadi lebih kreatif dengan ekspresi diri dalam suasana santai melalui aktiviti melakar serta menjadi platform ilmu untuk mengekspresikan idea, mengasah bakat seni dan mengolah emosi ke dalam karya.

Beliau juga berkata program ini dapat memberi pengalaman holistik yang menyatukan seni, relaksasi dan hubungan sosial dalam suasana yang positif dan menyeronokkan kepada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Sehubungan dengan itu, matlamat program ini telah menjadi satu langkah yang penting ke arah peningkatan kreativiti dan pengetahuan mahasiswa dan mahasiswi UPSI, yang mana program ini telah memberi manfaat kepada semua dalam menawarkan pengalaman holistik dalam mewujudkan perkembangan artistik yang menyatukan seni, relaksasi dan hubungan sosial menerusi suasana yang harmoni dan menyeronokkan.