Oleh : Muhammad Aminullah Hassim, Afifah Azari & Ummikalsum Mat Lazim

Tanjong Malim, 12 Januari 2025 – Exco Dakwah Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI), Fakulti Sains Kemanusiaan,Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), anjuran bersama Pusat Islam UPSI dengan kerjasama Al-Mursyidin Club,  Persatuan Pendidikan Islam, Persatuan Bahasa Arab, Rakan Siswa Yadim dan Kelab Sahabat Ulul Albab seta Harmoni UPSI  telah menganjurkan Kursus Profesionalisme Imam dan Bilal Ramadan 1446H yang berlangsung di Bilik Seminar Ibnu Rushd, Pusat Islam, Kolej Sultan Azlan Shah (KSAS) UPSI.

Kursus ini bertujuan untuk mendedahkan mahasiswa UPSI ddan warga Muallim dengan hukum-hukum fiqh yang berkaitan dengan solat dan peranan imam, serta memperbetulkan bacaan al-Quran melalui pengajaran ilmu tajwid yang betul. Program ini juga merupakan pengukuhan kompetensi dan persiapan menyambut bulan Ramadan serta memberikan penekanan kepada aspek ibadah yang lebih berkualiti dan tepat.

Sepanjang kursus, peserta diberi peluang istimewa untuk menyemakbacaan al-Quran mereka secara individu di hadapan Ustaz Syed, yang memberikan ruang untuk memperbaiki kualiti bacaan agar lebih tepat dan jelas. Peluang ini amat berharga, terutama dalam konteks memimpin solat berjemaah dengan sempurna, di mana setiap lafaz dan tajwid perlu dilakukan dengan teliti dan betul. Ustaz Syed memberikan bimbingan secara peribadi, memastikan setiap peserta dapat memperbaiki bacaan mereka dan meningkatkan keyakinan dalam melaksanakan tugas sebagai imam dan bilal.

Yang Dipertua PTQ, Azim Kasri semasa majlis perasmian

Menurut Yang Dipertua PTQ, Azim Kasri dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa kursus ini adalah salah satu usaha untuk memperkukuh kompetensi dalam kalangan mahasiswa UPSI dan warga Muallim. Beliau menekankan bahawa program ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kemahiran bacaan al-Quran dan pengetahuan fiqh, tetapi juga untuk mempersiapkan peserta menghadapi cabaran dalam memimpin solat berjemaah, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Penyerahan sijil kepada panel disampaikan oleh Pengarah program, Muhammad Aminullah

Program ini berjaya mencapai objektifnya dengan memberikan pemahaman mendalam tentang fiqh solat, meningkatkan kemahiran bacaan al-Quran, dan mempersiapkan mahasiswa UPSI untuk menjadi pemimpin solat yang berkualiti, berwibawa, serta mampu memberikan impak positif kepada masyarakat, khususnya dalam menyambut Ramadan dengan penuh keberkatan.