Oleh: Intan Suria Hamzah & Khairul Ghufran Kaspin

Kuala Lumpur, 20 Januari 2025– Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1/2025 telah menerima penyertaan seramai 120 orang pelatih secara sukarela yang terdiri daripada 80 pelatih lelaki dan 40 pelatih wanita berumur di antara 18 hingga 25 tahun telah memasuki minggu kedua.

PLKN 3.0 akan dimulai dengan 3 siri di 2 kem yang berbeza. Bagi Siri 2/2025 akan dilaksanakan pada 11 Mei hingga 24 Jun 2025 manakala PLKN 3.0 Siri 3/2025 akan dilaksanakan pada 7 September hingga 21 Oktober 2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah.

Bagi siri pertama, pusat latihan diadakan di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur selama 45 hari bermula 12 Januari lalu. Sepanjang fasa ini, pelatih akan diberikan pendedahan terhadap latihan fizikal, mental dan sivik. Modul-modul latihan mengintegrasikan 70 peratus Latihan Asas Ketenteraan dan 30 peratus Komponen Kenegaraan. Modul asas Kenegaraan yang dibangunkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini mengandungi tiga elemen utama iaitu elemen Jati Diri, Elemen Cinta Negara dan Elemen Perpaduan.

Integrasi modul latihan PLKN 3.0 diyakini memberi manfaat kepada golongan belia kerana menawarkan latihan inklusif seperti pendidikan kenegaraan, melatih diri pelatih PLKN supaya berani berhadapan dengan cabaran, meningkatkan kemahiran insaniah, berani tampil kehadapan serta memupuk perpaduan Nasional.

Pembinaan Modul Kenegaraan bagi PLKN 3.0 telah digambleng tenaga daripada 13 orang pensyarah dari Jabatan Pengajian Malaysia, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Mereka mempunyai pengalaman dan menjadi pakar rujuk oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara sejak pembinaan Modul Kenegaraan PLKN 1.0 yang terdiri daripada pensyarah Jabatan Pengajian Malaysia iaitu Prof. Madya Dr. Samsudin Suhaili, Dr. Muhammad Nadzir Ibrahim, Dr. Norazlan Hadi Yaacob, Dr. Rahimah Wahid, Dr. Siti Noranizahhafizah Boyman, Dr. Norhafiza Mohd Hed, Dr. Mohd Syariefudin Abdullah, Dr. Nadirah Mohd Azmi, Dr. Nurul Firdauz Abd Rahman, Dr. Intan Suria Hamzah, Dr. Noor Hadzlida Ayob, Mohamad BasriJamal dan Khairul Ghufran Kaspin.

Modul Kenegaraan 3.0 dalam Program Latihan Khidmat Negara ini dilihat dapat meningkatkan semangat patriotisme melalui pemupukan rasa cinta dan taat setia kepada negara, menerapkan nilai-nilai murni sebagai warganegara, memahami sejarah dan perjuangan kemerdekaan, mengetahui kepentingan hubungan dan dasar luar Malaysia serta pemantapan jati diri melalui penghayatan Rukun Negara. Selain itu, Modul Kenegaraan juga bermatlamat memperkasakan kemahiran kepimpinan, kemahiran berkomunikasi dan menerapkan semangat kerja berpasukan menerusi aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) sama ada di dalam dewan kuliah mahupun sebaliknya.