Oleh: Bazli Razak
TANJUNG MALIM, 22 Januari 2025 — Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Hannah Yeoh, telah mengadakan lawatan kerja ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memperkukuhkan hubungan strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan institusi pendidikan tinggi tersebut dalam bidang sains sukan.
Menurut beliau, pengiktirafan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, UPSI sebagai salah satu Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) pada tahun lalu ada satu pencapaian penting UPSI yang perlu dibanggakan.
Katanya, pengiktirafan tersebut bertujuan untuk membentuk rangkaian berprestasi tinggi di peringkat negeri melalui pembudayaan elemen sains, perubatan, dan inovasi dalam pembangunan bakat atlet negara.
“Hubungan strategik antara KBS dan UPSI penting untuk memastikan ilmu, inovasi, dan bakat dalam bidang sains sukan terus berkembang serta membantu menghasilkan lebih ramai bakat muda yang berprestasi tinggi.

“Saya percaya kerjasama seperti ini dapat mencipta ekosistem sukan yang lebih progresif, sejajar dengan matlamat negara untuk menjadi peneraju dalam bidang ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu lawatan ke UPSI bersama para pelajar Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, baru-baru ini.
Beliau turut melahirkan rasa bertuah kerana dapat memulakan tahun 2025 dengan bertemu para pelajar Sains Sukan UPSI.
“Saya merasa bertuah kerana dapat membuka tirai 2025 dengan bertemu orang muda dan belia seperti para pelajar Sains Sukan UPSI yang berada di hadapan saya hari ini. Peluang seperti ini amat berharga untuk kita bertukar pandangan dan membina hubungan yang lebih erat.
“Sebagai pelajar Sains Sukan, anda adalah pemangkin kepada pembangunan sukan di Malaysia.

“Anda akan menjadi individu yang membentuk dasar, mengasuh bakat-bakat baru, dan memastikan industri sukan kita terus kompetitif di peringkat serantau dan antarabangsa,” tambah beliau lagi.
Dalam majlis yang sama, beliau turut hadir merasmikan Star Wellness Hub UPSI dan Pusat Satelit ISN UPSI.
Menurut beliau, Pusat Satelit ISN di UPSI adalah bukti kejayaan integrasi sains dalam pembangunan bakat.
Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif UPSI menubuhkan STAR Wellness Hub, yang menyediakan khidmat rehabilitasi sukan kepada pelajar dan atlet universiti.
“Penubuhan STAR Wellness Hub adalah satu langkah ke hadapan yang amat membanggakan. Saya berharap lebih banyak IPT lain akan mengambil inspirasi daripada UPSI dalam usaha memperkukuhkan kebajikan pelajar dan atlet mereka,” ujar beliau.
“Semoga lebih banyak peluang dan kolaborasi dapat dilakukan antara UPSI dan KBS terhadap pembangunan sukan negara pada masa hadapan,” ujar beliau,
Dalam lawatan kerja ke UPSI itu juga beliau dibawa melawat ke beberapa tempat fasiliti sukan yang terdapat di UPSI antaranya UPSI Sports Bowl, UPSI Sport City, UPSI Adventure Park, Scholar Suites dan UPSI Glamping Park.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff menekankan betapa pentingnya kolaborasi strategik ini dalam memacu kecemerlangan bidang sains sukan.

“Kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan melalui inisiatif seperti Pusat Satelit ISN adalah bukti nyata bahawa UPSI komited untuk memperkukuhkan pembangunan bakat dan teknologi dalam sukan.
Tambah beliau, lawatan kerja tersebut jelas mencerminkan komitmen KBS dan UPSI dalam mengintegrasikan sains sukan untuk pembangunan bakat muda dan memperkukuhkan peranan Malaysia di pentas sukan antarabangsa.
“UPSI akan sentiasa menyokong usaha ini dengan menyediakan program dan kemudahan terbaik untuk melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang sains sukan.
“UPSI amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif besar ini. Kami yakin dengan adanya kolaborasi yang lebih mantap, Malaysia mampu menjadi pemimpin dalam bidang sains sukan di rantau ini,” kata beliau.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Puan Sri Datuk Seri Rohani Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN), En Ahmad Faezal Md Ramli; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Rakan Muda) Jabatan Belia dan Sukan Negara, Encik Syamsul Tahrin Mohd Tahir; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Puan Nor Azah Ahmad Dahalan
