Putrajaya, 24 Januari – Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan sesi lawatan dan perbincangan rasmi bersama Jabatan Pembangunan Kanak-kanak (JPKK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Menara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Putrajaya semalam.
Mesyuarat yang berlangsung selama hampir dua jam itu membincangkan pelbagai isu strategik berkaitan penjagaan kanak-kanak, perlindungan kanak-kanak, dan usaha memperkukuhkan pembangunan holistik kanak-kanak di peringkat kebangsaan.


Delegasi NCDRC yang diketuai oleh Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, disambut oleh Pengarah JPKK, Dr Sopian Brahim serta beberapa orang pegawai JPKK. Kedua-dua pihak berkongsi pandangan mengenai cabaran yang dihadapi dalam memastikan setiap kanak-kanak menerima akses kepada pendidikan dan perlindungan yang berkualiti.
Dalam ucapannya, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, berkata, “NCDRC berhasrat untuk terus bekerjasama dengan JPKK, JKM dalam membangunkan program pendidikan awal kanak-kanak yang bukan sahaja relevan tetapi juga inklusif dan berpandukan data penyelidikan terkini.”. Beliau turut berkata, “Sistem NCDC 2.0 adalah langkah penting ke arah transformasi pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia. Ia bukan sahaja menyokong usaha JPKK tetapi juga meningkatkan kualiti pemantauan dan laporan perkembangan kanak-kanak.”
Sementara itu, Pengarah JPKK, Dr Sopian Brahim, menekankan pentingnya perkongsian pintar khususnya melalui pengunaan sistem National Child Data Center versi 2.0 (NCDC 2.0) ini untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan yang memberi tumpuan kepada pembangunan kanak-kanak serta merealisasikan agenda pembangunan holistik kanak-kanak, selaras dengan aspirasi negara.
Mesyuarat turut memberi tumpuan kepada beberapa inisiatif utama, termasuk Pelancaran Sistem NCDC 2.0 yang diperbaharui ini memperkenalkan ciri-ciri terkini untuk memantau perkembangan pendidikan awal kanak-kanak dengan lebih efektif dan menyeluruh, peluang pengkomersilan Sistem NCDC 2.0 yang memfokuskan kepada potensi pengkomersilan sistem bagi memperluaskan penggunaannya serta Pensijilan Pelatihan Sistem NCDC (NCDC Certified Trainer) yang bertujuan untuk melatih guru-guru dan pengusaha TASKA supaya mereka lebih kompeten dalam menggunakan Sistem NCDC yang baharu.

Kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk menjadikan hubungan ini sebagai asas bagi memperkenalkan program dan dasar baru yang lebih menyeluruh, bertujuan untuk memanfaatkan komuniti kanak-kanak di Malaysia.
Lawatan ini mencerminkan kesungguhan NCDRC dan JPKK, JKM dalam memperjuangkan kepentingan kanak-kanak melalui pendidikan berkualiti, perlindungan menyeluruh, dan pendekatan yang mampan.
