Oleh: Bazli Razak
Tanjong Malim, 14 Februari 2025 – Japan International Cooperation Centre (JICE) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menganjurkan Program Outbound JENESYS 2025 bagi memperkukuh hubungan diplomasi antara Malaysia dan Jepun.
Program yang berlangsung dari 1 hingga 18 Februari itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar universiti Jepun mengenai budaya tempatan di Malaysia.
Menurut kenyataan JICE, antara pengisian utama program ialah School Exchange Program, yang melibatkan lawatan kampus serta sesi ramah mesra bersama warga institusi pengajian tinggi tempatan bagi bertukar pengetahuan dan pengalaman dalam suasana akademik lebih mendalam.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dipilih sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) yang menerima lawatan para peserta bagi memberi peluang kepada pelajar Jepun mengenali sistem pendidikan tinggi di Malaysia selain membina jalinan persahabatan antara kedua-dua negara.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata program itu adalah satu peluang berharga bagi memperkenalkan keunikan sistem pendidikan tinggi Malaysia kepada dunia luar.
“Kami berbangga kerana UPSI terpilih untuk menyertai program ini dan menyambut kehadiran pelajar Jepun. Ini adalah satu inisiatif yang amat baik dalam memupuk kefahaman budaya serta akademik antara kedua-dua negara.

“Melalui program seperti JENESYS, kita bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan akademik tetapi juga membuka peluang kepada kolaborasi penyelidikan dan pertukaran pelajar antara universiti di Malaysia dan Jepun.”
Menurut beliau, program ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa.
“Program ini membuktikan bahawa institusi pendidikan tinggi di Malaysia, khususnya UPSI, bersedia memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan akademik global dan mempromosikan budaya serta keunikan pendidikan negara kita di peringkat antarabangsa.

Tambah beliau, hubungan erat antara Malaysia dan Jepun dalam sektor pendidikan juga membuka peluang kepada pelajar tempatan untuk mendapatkan pengalaman belajar dan menjalani latihan industri di Jepun.
“Kami berharap melalui lawatan ini, pelajar Jepun akan memperoleh pengalaman berharga yang dapat meningkatkan pemahaman mereka terhadap budaya dan sistem pendidikan Malaysia.
“Begitu juga sebaliknya, kita berharap lebih banyak peluang dibuka untuk pelajar kita meneroka peluang pendidikan dan latihan di Jepun.

Tambah beliau lagi, menyatakan keyakinannya bahawa kerjasama akademik seperti ini dapat membantu meningkatkan daya saing pelajar serta membangunkan kemahiran yang relevan dengan keperluan global.
“Program JENESYS 2025 dijangka memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Jepun serta membuka lebih banyak peluang kerjasama akademik dan budaya pada masa hadapan,” ujar beliau.
