Oleh: Bazli Razak

TANJUNG MALIM, 24 Februari – Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengharumkan nama institusi berkenaan apabila mencatat kejayaan cemerlang dalam pelbagai kategori di Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat negeri baru-baru ini.

Dalam pertandingan yang berlangsung di beberapa negeri, Muhammad Haziq Jaafar, pelajar Ijazah Sarjana Muda (ISM) Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan dari Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, dinobatkan sebagai johan bagi kategori Hafazan 1-10 Juzuk dan Taranum dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Perak.

Selain itu, Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam, pelajar ISM Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan dari Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, turut meraih tempat pertama bagi kategori Hafazan 1-30 Juzuk dan Tafsir dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Sembilan.

Sementara itu, Nur Adleena Faizulnizan berjaya memperoleh tempat ketiga dalam kategori Hafazan 1-30 Juzuk dan Tafsir di Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Perak, manakala Muhammad Aizat Firdaus Ismail meraih tempat ketiga bagi kategori Hafazan 1-20 Juzuk dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Selangor.

Muhammad Haziq Jaafar, pelajar ISM Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan dari Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, semasa mengalunkan bacaan Al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Perak.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan hadiah Tilawah Al-Quran kepada Johan bagi ketegori hafazan 1-10 Juzuk dan Taranum, Muhammad Haziq Jaafar pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Perak

Kejayaan ini turut diserikan dengan pencapaian cemerlang alumni UPSI yang terus mencipta nama di peringkat negeri. Ummi Radhwa Mohd Zulkifli, alumni UPSI yang dikenali sebagai Anak Kandung Suluh Budiman, dinobatkan sebagai johan Tilawah Perempuan dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Johor.

Seorang lagi alumni UPSI, Ratu Dangsari Basri, meraih tempat ketiga dalam kategori Tilawah Perempuan di Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Selangor.

Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam semasa mengalunkan bacaan Al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Sembilan.
Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam, pelajar ISM Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan dari Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, dinobatkan johan tempat pertama bagi kategori Hafazan 1-30 Juzuk sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Sembilan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin, turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan tersebut.

“Pencapaian luar biasa ini membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja melahirkan pendidik berkualiti, tetapi juga generasi yang hebat dalam bidang tilawah dan hafazan Al-Quran.

“Ini selaras dengan usaha kami dalam memperkasa budaya keilmuan Islam di peringkat universiti,” katanya.

Kata beliau, kejayaan ini adalah hasil usaha gigih para pelajar dan bimbingan pensyarah yang berdedikasi.

Alumni UPSI, Ummi Radhwa Mohd Zulkifli ketika mengalunkan bacaan Al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Johor
 
Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor berkenan menyampaikan hadiah kepada Ummi Radhwa Mohd Zulkifli yang dinobatkan johan bagi kategori Tilawah Perempuan dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Johor

“Kami berharap pencapaian ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha dan mencapai kejayaan yang lebih tinggi di masa hadapan.

Tambah beliau, kejayaan ini adalah bukti komitmen UPSI dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak tinggi.

“UPSI akan terus menyokong serta menyediakan platform terbaik bagi para pelajar untuk mengembangkan potensi mereka dalam pelbagai bidang, termasuk pengajian Al-Quran dan Tilawah.

Menurutnya, pihak universiti juga berbangga dengan pencapaian alumni yang terus mengharumkan nama UPSI di peringkat negeri dan kebangsaan.

“Keunggulan alumni kita dalam bidang ini adalah hasil pendidikan yang kukuh dan penerapan nilai-nilai Islam sepanjang tempoh pengajian mereka di UPSI. Kami akan terus berusaha memperkukuhkan lagi kecemerlangan ini,” katanya.

“Kejayaan para pelajar dan alumni ini membuktikan keunggulan UPSI dalam melahirkan generasi cemerlang dalam bidang hafazan dan tilawah Al-Quran, seiring dengan aspirasi institusi tersebut dalam membudayakan ilmu berteraskan nilai-nilai Islam,” ujar beliau.