Oleh : Afrina Wafa Abdul Wahhib
Songkhla, Thailand, 9 Mei 2025 – Delegasi Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan sesi diskusi perkongsian pendapat dan pengalaman bersama Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand.
Program ini merupakan sebahagian daripada lawatan akademik yang bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada peserta lawatan mengenai peranan perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara.
Sesi diskusi tersebut dikendalikan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Tuan Ahmad Fahmi Tuan Sarkawi yang berkongsi pengalaman beliau dalam menguruskan pelbagai aspek hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand, khususnya melibatkan kebajikan rakyat Malaysia, pendidikan dan hubungan budaya serantau.



Para delegasi berpeluang mengemukakan soalan serta berkongsi pandangan mengenai isu-isu antarabangsa, diplomasi moden dan cabaran yang dihadapi oleh perwakilan Malaysia di luar negara.
Perbincangan berlangsung dalam suasana terbuka dan interaktif, membolehkan pelajar memahami dengan lebih mendalam peranan penting yang dimainkan oleh konsulat dalam menjaga imej dan kepentingan negara.


Encik Mohd Izzat Abdul Rahman, selaku felo penasihat program menyifatkan sesi tersebut sebagai ilmu baharu yang boleh dijadikan pengalaman yang sangat bermakna. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Thailand atas kesudian menerima lawatan akademik ini.
Lawatan dan sesi diskusi diakhiri dengan sesi bergambar dihadapan pejabat Konsulat. Para delegasi KHAR dipupuk dengan nasihat, semangat baharu serta ilmu yang lebih luas mengenai peranan Malaysia di peringkat antarabangsa, seterusnya memperkukuh jati diri sebagai warganegara yang berwawasan global.
