oleh: Florence Perik dan Nada Hilmy

Sayong Lembah, Perak, 25 April 2025 – Berlandaskan semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, program Kembara Ihsan telah melakar satu pengalaman bermakna buat para sukarelawan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta delegasi dari Indonesia dan Uzbekistan.

Bertempat di Kampung Sayong Lembah, program anjuran Exco Penginapan dan Kemasyarakatan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (KUO) dengan kerjasama Masjid Khairiah Sayong Lembah ini menjadi medan memperkukuh nilai kesukarelawanan sambil memperkenalkan keindahan budaya tempatan.

Program ini bukan sahaja menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf dan mengeratkan hubungan komuniti melalui aktiviti rewang dan gotong-royong, tetapi juga memberi peluang kepada peserta antarabangsa untuk menikmati masakan kampung tradisional Melayu.

Hidangan seperti gulai ayam, ulam-ulaman, sambal belacan, dan kerabu mangga disediakan dengan penuh kasih sayang oleh penduduk kampung.

Sajian ini memperkenalkan kelazatan asli masakan kampung yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu, memberikan pengalaman kulinari yang tak terlupakan kepada delegasi dari Indonesia dan Uzbekistan.

Mewarna sayong
Rewang
Lawatan klasik

Salah satu pengalaman yang sangat berkesan bagi delegasi Indonesia adalah suasana merewang yang berlangsung di Masjid Khairiah.

Elak Enggraini, seorang mahasiswi dari Universitas Bina Darma, berkongsi bahawa suasana merewang bersama penduduk kampung di kawasan masjid merupakan pengalaman baru bagi mereka.

“Di Indonesia, masjid memang sering digunakan untuk kegiatan ibadah, namun tidak banyak masjid yang digunakan untuk aktiviti komuniti seperti ini.

“Kami berasa sangat teruja dapat merasakan sendiri suasana kekeluargaan dan gotong-royong di sini,” ujarnya. Aktiviti merewang di masjid ini bukan sahaja mengeratkan ukhuwah antara peserta, tetapi juga memberi peluang untuk menjalin hubungan lebih erat dengan masyarakat tempatan.

Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah sesi pembelajaran dan mewarna labu sayong, simbol kraftangan ikonik negeri Perak.

Delegasi dari luar negara berpeluang mengenali keunikan seni pembuatan labu sayong serta mengekspresikan kreativiti melalui aktiviti mewarna. Aktiviti ini menjadi platform pertukaran budaya yang erat dan menyeronokkan bagi peserta dari Malaysia, Indonesia dan Uzbekistan.

Program ini turut diserikan dengan lawatan ke Istana Kenangan dan Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar. Lawatan ini memperlihatkan kehalusan seni bina Melayu tradisional yang kaya dengan simbolik warisan dan kepercayaan masyarakat setempat. Para delegasi diberikan penerangan tentang sejarah dan seni bina yang menjadi lambang identiti budaya Perak.

Menurut Nur Hamizah, Pengarah Program Kembara Ihsan, program ini bukan sahaja memperkuat nilai kesukarelawanan, tetapi juga membuka mata peserta terhadap kepelbagaian budaya yang boleh dikongsi bersama.

“Sukarelawan yang hadir sentiasa ceria dan mesra, membina kenangan yang manis bersama penduduk kampung serta rakan antarabangsa. Inilah nilai sebenar perpaduan dan kemanusiaan,” ujarnya.

Secara keseluruhan, Kembara Ihsan bukan sekadar program sukarelawan, tetapi juga platform pertukaran budaya yang mempererat hubungan serantau.

Melalui penglibatan pelbagai latar budaya dalam aktiviti seni, kemasyarakatan dan warisan, program ini berjaya membina jalinan harmoni antara Malaysia, Indonesia dan Uzbekistan dalam semangat kemanusiaan dan kebudayaan sejagat.