Oleh: Qualid Mansah Razman, Nisa Aliza Ahmad Ridzwan dan Syrelyn

Tanjong Malim, 23 April 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh martabat seni Khat di Malaysia menerusi penganjuran Program KHAT-ZANAH: Eksplorasi Menelusuri Kesenian Khat di Malaysia, anjuran Exco Latihan Pembangunan Sahsiah Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar 2024/2025 dengan kerjasama institusi pendidikan dari Uzbekistan dan Indonesia.

Program yang berlangsung pada 23 April 2025 bertempat di Dewan Kuliah Pusat 10, KSAS, UPSI, ini bertujuan untuk mengangkat seni kaligrafi khat sebagai salah satu warisan budaya yang amat bernilai.

Program ini diadakan dengan matlamat untuk memperkenalkan keindahan seni kaligrafi dan khat kepada para mahasiswa dan mahasiswi, serta menyemai minat terhadap kesenian warisan yang kaya ini.

Selain daripada itu, program ini turut menjadi platform untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara peserta, dengan memperkenalkan mereka kepada dunia seni khat yang mempesonakan.

Peserta program KHAT-ZANAH: Eksplorasi Menelusuri Kesenian Khat di Malaysia

Ucapan Pengarah Program

Selain itu, program ini menampilkan Encik Khaidir Mohamed Ali, seorang pakar dalam bidang khat yang pernah menjadi juri dalam Pertandingan Khat Kebangsaan sebanyak dua kali.

Beliau berkongsi pengetahuan dan teknik penulisan khat yang betul dan memberikan peluang kepada peserta untuk mempelajari seni ini secara langsung daripada seorang ahli profesional.

Menurut Ghina Rosevillia Rusdy dari Universitas Bina Darma, “Dengan adanya program KHAT-ZANAH ini, saya dapat menambah pengetahuan baru dan mempelajari lebih banyak lagi seni kaligrafi dan khat di Malaysia.

Program ini juga berfungsi sebagai platform untuk mencungkil bakat terpendam dalam kalangan mahasiswa/i melalui pertandingan tulisan khat yang bukan sahaja menonjolkan kreativiti peserta, tetapi juga menyerlahkan potensi seni mereka dalam bidang ini.”

Ucapan Perasmi Program

Sesi bengkel bersama panel

Faris Iman Abdul Razak, Pengarah Program, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk pentadbiran, penasihat program, felo kolej, ahli jawatankuasa, dan para peserta yang menjayakan program ini.

Beliau menyatakan bahawa program seperti KHAT-ZANAH akan menjadi antara kenangan terindah yang memberikan impak mendalam.

Program ini tidak hanya mendidik mahasiswa mengenai seni kaligrafi khat sebagai warisan budaya Malaysia, tetapi juga memupuk kecintaan terhadap kesenian ini, yang menjadi elemen penting dalam membentuk jati diri dan semangat nasionalisme di kalangan generasi muda.

Program KHAT-ZANAH: Eksplorasi Menelusuri Kesenian Khat di Malaysia bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang sentiasa menghargai dan menjaga seni yang merupakan warisan Nusantara sejak zaman dahulu.

Sebagai mahasiswa/i MADANI, warisan dan sejarah adalah sebahagian daripada pembinaan jati diri nasional. Memelihara dan memartabatkan seni khat bermakna menghargai warisan Islam dan Melayu yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun negara.

Dalam menghadapi cabaran globalisasi yang semakin mencabar, usaha ini bukan sahaja melestarikan seni, tetapi juga memperkukuhkan jati diri bangsa, memastikan generasi masa depan terus berdaya saing dan bermaruah di pentas dunia.

Program KHAT-ZANAH ini bukan sahaja sebuah penghargaan terhadap seni, tetapi juga merupakan inisiatif strategik dalam usaha memperkasakan dan memelihara warisan khat sebagai khazanah budaya yang penting dalam pembentukan identiti kebangsaan.

Melalui kerjasama antara institusi pendidikan, badan kebudayaan, dan pakar dalam bidang khat, program ini membuka ruang wacana dan penyelidikan terhadap nilai estetika, sejarah, dan spiritualiti yang terkandung dalam seni khat.

Oleh itu, KHAT-ZANAH diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada gerakan intelektual dan budaya yang lebih meluas, menuju ke arah melahirkan generasi yang celik seni, berwawasan global, dan teguh berakar pada tradisi.