Oleh: Zuhairi dan Syawalil Fitri

Ipoh, 25 April 2025 – Isu gelandangan bukan lagi perkara asing di bandar-bandar besar di Malaysia. Dalam mendepani tekanan ekonomi, kekurangan peluang pekerjaan dan pelbagai cabaran sosial semasa, semakin ramai individu yang tersisih daripada arus pembangunan.

Menyedari hakikat ini, pelbagai pihak tampil menghulurkan tangan, dan KUO tidak ketinggalan menyahut cabaran tersebut melalui penganjuran program menyantuni gelandangan.

Program ini dianjurkan oleh Exco Kebajikan dan Perkhidmatan, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar kolaborasi melibatkan Mahasiswa/i dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Putra Malaysia, Universitas Mercu Buana Yogyakarta, Universitas Bina Darma, Universitas Islam Ogan Komering Ilir, Universitas Baturaja, International School of Finance Technology and Science Institute dan Uzbek State University of Physical Education and Sport.

Peserta memberikan bantuan kepada gelandangan
Peserta menyantuni gelandangan di Yayasan Kebajikan Negara

Kuo Force 3.0: Kuo Bersatu “Santuni Gelandangan” salah satu sebagai inisiatif kebajikan yang bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama dalam kalangan sukarelawan, memberi fokus kepada usaha berpasukan untuk membantu golongan gelandangan melalui pemberian makanan sambil memupuk nilai kerjasama dan empati dalam kalangan sukarelawan.

Selain menyuntik semangat dan memberi sokongan moral kepada gelandangan, program ini turut membuka mata masyarakat tentang pentingnya menyantuni golongan kurang bernasib baik — satu langkah kecil namun bermakna ke arah membentuk komuniti yang lebih prihatin, penyayang dan bertanggungjawab.

Sebanyak 50 set makanan dan keperluan harian telah diagihkan kepada setiap gelandangan yang ada di Bandar Ipoh melibatkan 50 orang Mahasiswa/i KUO UPSI, Indonesia dan Uzbekistan.

Setiap barangan yang diberikan memberikan seribu makna kepada gelandangan kerana masalah atau halangan yang mereka perlu tempuhi untuk mencari sesuap rezeki bagi keluarga yang tersayang. Jelaslah bahawa setiap pemberian akan membantu mereka yang memerlukan tidak kira dari bantuan fizikal atau mental.

Setiap huluran yang diberikan kepada insan-insan yang memerlukan bukan sekadar mencetuskan senyuman di wajah mereka, malah turut menyemai rasa dihargai dalam hati komuniti tersebut.

Dalam masa yang sama, timbul rasa insaf dan kesyukuran dalam kalangan para peserta yang menyaksikan sendiri realiti kehidupan mereka. Jelaslah bahawa menghargai nikmat yang dimiliki dan membantu mereka yang memerlukan bukan sekadar satu pilihan, tetapi tanggungjawab bersama sebagai insan yang berperikemanusiaan.

Sesi luahan hati bersama gelandangan
Pemberian plak penghargaan kepada pihak Anjung Kasih

Salah seorang peserta menyatakan perasaannya, “apabila saya memberikan bantuan-bantuan kepada gelandangan ini, hati saya telah mencetuskan satu perasaan yang yang cukup istimewa di dalam hati saya iaitu kasih sayang dan sifat empati dalam diri ini, yang menjelaskan bahawa pertolongan saya ini mungkin kecil tetapi boleh menjadi salah satu peristiwa yang besar untuk mengubah nasib mereka di dunia ini.

Pernyataan tersebut menunjukkan setiap tindakan yang diambil sudah pasti memberikan kesan yang positif kepada orang di sekeliling kita.

Menurut pengarah program KUO Force 3.0: KUO Bersatu “Santuni Gelandangan”, Nureen Aisyah turut meluahkan perasaan gembira dalam ucapannya, “Melalui aktiviti pengagihan barangan dan makanan kepada golongan yang memerlukan, para mahasiswa dan mahasiswi bukan sahaja dapat menabur bakti, malah turut berpeluang menjalin hubungan silaturrahim dengan komuniti gelandangan.

Dalam kesederhanaan hidup mereka, tersembunyi pelbagai kisah dan pengalaman yang memberi pengajaran bermakna serta membuka ruang pembelajaran yang tidak ternilai di luar bilik belajar” jelasnya.

Pada slot penutupan majlis, pemberikan plak cenderahati kepada rakan kolaborasi utama iaitu pihak Anjung Kasih dari Yayasan Kebajikan Negara yang disampaikan oleh pengarah program Nureen Aisyah sebagai salah satu tanda penghargaan kepada pihak tersebut kerana telah bersatu dan bersama-sama dalam menjayakan program seperti ini dan mencipta satu ikatan kerjasama yang kuat antara pihak KUO dan Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara.

Secara keseluruhannya, program bantuan ini bukan sekadar sebuah usaha menyampaikan sumbangan, tetapi juga satu manifestasi nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial yang wajar disemai dalam diri setiap individu.

Melalui sentuhan kecil ini, terjalin hubungan yang lebih erat antara masyarakat dan golongan yang memerlukan, di samping menyedarkan kita tentang erti syukur, empati dan kepedulian. Semoga program sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan agar lebih ramai yang terbela dan lebih banyak hati yang tersentuh.