Oleh: Tengku Ahmad Baihaqi Tengku Baharom

Tanjung Malim, 15 Mei 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi menunjukkan komitmen terhadap pembangunan sahsiah dan kepimpinan belia dengan menganjurkan Majlis Ikrar Belia bertempat di Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki.

Program yang berprestij ini menghimpunkan seramai 400 orang pelajar UPSI dari pelbagai latar belakang dan bidang pengajian sebagai satu wadah penyatuan suara belia dalam mengangkat nilai patriotisme, tanggungjawab sosial dan aspirasi kepimpinan masa hadapan.

Majlis ini bukan sekadar satu acara formal, tetapi merupakan platform pendidikan tidak formal yang sarat dengan pengisian berimpak tinggi ke arah membentuk jati diri dan identiti nasional dalam kalangan mahasiswa.

Objektif utama penganjuran majlis ini adalah untuk menanam dan menyuburkan kesedaran dalam kalangan belia Malaysia mengenai peranan strategik mereka dalam pembinaan negara bangsa, pembentukan masyarakat madani, serta pencapaian matlamat pembangunan mampan (SDG).

Selain itu, majlis ini juga berperanan sebagai pemangkin dalam usaha menyatupadukan generasi muda agar bersatu dalam mempertahankan kedaulatan negara dan memikul amanah sebagai penyambung legasi kepimpinan negara.

Ikrar yang dilafazkan bukan sekadar ungkapan lisan, tetapi satu bentuk pengisytiharan iltizam dan kesetiaan terhadap prinsip kenegaraan dan tanggungjawab sivik sebagai warganegara Malaysia.

Majlis dimulakan dengan tayangan video ucapan amanat daripada tokoh-tokoh penting negara sempena sambutan Hari Belia Negara, termasuk YB Menteri Belia dan Sukan, YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan, serta Presiden Majlis Belia Negara.

Ucapan-ucapan ini menekankan peranan strategik belia sebagai ejen perubahan sosial, agen inovasi serta pewaris kepada nilai-nilai murni kebangsaan.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan detik yang paling dinanti-nantikan iaitu bacaan Ikrar Belia, yang diketuai oleh Muhammad Asyraaf Izzuan Zainuddin, Yang Dipertua Kolej Aminuddin Baki.

Dalam suasana penuh khidmat dan semangat nasionalisme, para pelajar berdiri teguh menyahut laungan ikrar, menggambarkan kesediaan mereka untuk menjadi tulang belakang kepada pembinaan tamadun Malaysia yang progresif dan lestari.

Majlis Ikrar Belia membawa pengertian yang jauh lebih mendalam daripada sekadar bacaan ikrar secara kolektif. Ia merupakan simbol kepada internalisasi nilai, yakni proses dalaman yang membentuk pemahaman, kepercayaan dan amalan dalam diri seseorang individu terhadap peranan sosial mereka.

Dalam konteks pendidikan tinggi, majlis ini memainkan peranan penting dalam menyokong pembentukan graduate attributes atau atribut siswazah yang seimbang dari segi ilmu, akhlak dan kepimpinan. Ikrar yang dilafazkan adalah komitmen moral terhadap usaha membina masa depan negara yang lebih cemerlang melalui penyertaan aktif dalam bidang kepimpinan, kesukarelawanan, inovasi serta advokasi isu-isu semasa.

Majlis ini juga mendukung falsafah pendidikan kebangsaan yang menekankan pembangunan insan secara holistik dan bersepadu. Ia selaras dengan usaha kerajaan dalam melahirkan generasi belia yang memiliki jati diri yang kukuh, kompetensi global dan kesedaran sivik yang tinggi.