Oleh : Irfan Danish Mohd Sukri, Maisarah Salsabila Mohd Jamel dan Rabiatul Adawiyah Md Noor
Tanjung Malim, 26 April 2025 – Exco Agrikultur dan Exco Perpaduan Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Perak serta Kelab Gerakan Pengguna Siswa telah berkolaborasi dalam melaksanakan program Jelajah Siswa Pengguna merangkumi beberapa aktiviti menarik seperti Pelikat Fun Run, Jualan Rahmah Madani dan “Pocket Talk Pengguna”.
Program yang berlangsung di Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki ini telah melibatkan kakitangan UPSI, mahasiswa/i UPSI, pegawai KPDNK Perak dan orang awam dari sekitar Muallim dalam suasana yang meriah dengan pelbagai gaya pelikat yang dipakai oleh peserta Pelikat Fun Run.
Program ini bertujuan untuk meraikan usaha dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Perak yang ingin melaksanakan program Jualan Rahmah dalam kalangan pengguna terutama dalam kalangan mahasiswa/i di IPTA.
Pihak KPDN berbesar hati untuk bekerjasama bersama pihak Kolej Aminuddin Baki dengan harapan program seperti ini dapat menerima sambutan yang baik dari kalangan pengguna.


Program ini dimulakan dengan pelepasan Pelikat Fun Run yang melibatkan penyertaan seramai 300 orang.
Berbagai jenis gaya diperagakan oleh peserta sesuai dengan tema kain pelikat. Peserta dilepaskan pada jam 8 pagi oleh Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Perak, Dato’ Kamalludin Ismail yang turut menyertai larian bersama Pengetua Kolej Aminuddin Baki, En.Zulkifli Mamat.
Hadiah yang ditawarkan termasuklah medal penamat dan hadiah kepada peserta yang memakai hiasan pelikat tercantik bagi kategori lelaki dan perempuan.
Diharapkan dengan program ini, dapat memupuk semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan antara pihak KPDN bersama staf dan mahasiswa/i UPSI.
Selain itu, turut dianjurkan adalah Jualan Rahmah Madani yang berlangsung di kawasan yang sama bermula dari jam 10 pagi sehingga 5 petang.
Jualan ini merupakan inisiatif KPDN untuk membantu mahasiswa serta orang awam di sekitar Tanjung Malim dengan menawarkan harga yang berpatutan untuk barangan-barangan keperluan seperti bahan memasak dan juga barangan basah seperti ayam, ikan, udang dan sotong.


Jualan Rahmah @ Kampus ini telah dirasmikan sendiri oleh Pengarah KPDN Perak, Dato’ Kamalludin Ismail yang juga turut beramah mesra dengan beberapa pelajar dan orang awam yang hadir untuk membeli barangan keperluan.
Jualan Rahmah Madani ini telah mendapat sambutan yang mengagumkan dengan dihadiri oleh mahasiswa/i UPSI, orang awam sekitar Muallim dan juga kakitangan dari UPSI.
Sesi Pocket Talk Pengguna telah disampaikan oleh Puan Wardina Md Shahid, Ketua Seksyen Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia Negeri Perak.
Taklimat ini adalah berkenaan tuntutan yang boleh dimohon oleh pengguna iaitu pembeli sekiranya mereka mendapati mereka ditipu oleh penjual. Sesi ini dijalankan secara santai dan berinformasi melibatkan mahasiswa/i UPSI.
Melalui sesi ini, diharapkan pengguna terutama dalam kalangan mahasiswa/i tahu mengenai hak yang mereka boleh tuntut melalui saluran yang betul dan cara yang betul mengikut undang-undang.
Melalui ucapan Pengarah KPDN Perak, Dato’ Kamalludin bin Ismail beliau menzahirkan penghargaan khusus kepada pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), barisan Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki serta jawatankuasa pelaksana yang telah bertungkus-lumus mengerahkan tenaga dalam menjayakan program JELAS ini.
Beliau menjelaskan bahawa program ini membuka ruang kepada mahasiswa/i serta orang awam untuk memahami peranan dengan lebih mendalam sebagai seorang pengguna yang lebih cakna, bijak dan bertanggungjawab.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya dilaksanakan dengan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan. Diharapkan kejayaan ini dapat menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program-program yang lebih berimpak pada masa akan datang.
