Oleh: Maznah Othman
Tanjong Malim, 22 Mei 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengekalkan momentum kecemerlangan inovasi apabila sistem GeoAttendance sekali lagi meraih Pingat Emas dalam International Education Innovation Competition (Edu@Innovate) 2025 yang berlangsung pada 19 dan 20 Mei 2025 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Kejayaan ini dicapai melalui inovasi sistem GeoAttendance, yang memanfaatkan teknologi geolokasi untuk merekodkan kehadiran program universiti secara automatik dan tepat.
GeoAttendance membuktikan bahawa aplikasi digital amat penting dalam era ini kerana ia mampu mempercepat, memperkemas dan meningkatkan ketelusan urusan pentadbiran di universiti awam, seiring dengan aspirasi pendigitalan sektor pendidikan tinggi negara.
Pertandingan Edu@Innovate 2025 merupakan platform berprestij yang mengetengahkan inovasi berkaitan penyelidikan pendidikan oleh sarjana institusi pengajian tinggi, agensi, pemain industri, serta pelajar sekolah dari peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ia menjadi medan penting dalam mempamerkan kreativiti dan solusi teknologi dalam sektor pendidikan global.
Terdahulu, GeoAttendance turut memenangi Anugerah Emas dan Johan Kategori Pentadbiran dalam Virtual Innovation Competition Exhibition (VICE 2024) yang berlangsung secara dalam talian dari 7 Oktober hingga 13 Disember 2024.
Projek ini diterajui oleh Ketua kumpulan projek, Ts. Abdul Mueiz Rosli, bersama barisan ahli pasukan inovasi iaitu Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad, Dr. Ahmad Wiraputra Selamat, dan En. Prabu Tharmalingam. Kerjasama erat antara Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi terbukti membuahkan hasil yang membanggakan buat kesekian kalinya.



Menurut Ts. Abdul Mueiz, beliau meluahkan rasa terharu dan bangga atas kejayaan tersebut:
“Kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif pasukan yang sentiasa komited memperkasakan transformasi digital di UPSI. Saya berharap inovasi ini dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih luas dan memberi manfaat kepada lebih banyak institusi pendidikan di masa depan.”
Inovasi GeoAttendance menjadi satu lagi bukti bahawa UPSI bukan sahaja menjadi peneraju dalam bidang pendidikan, malah terus unggul dalam merintis teknologi dan sistem digital yang menyokong pentadbiran universiti.
