Oleh: Suzani Mohamad Samuri
Tanjong Malim, 20 Mei 2025 – Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mengharumkan nama di persada antarabangsa apabila pelajar daripada program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Perisian Pendidikan) berjaya meraih pencapaian cemerlang dalam pertandingan International Education Innovation Competition (Edu@Innovate) 2025.
Edu@Innovate ialah sebuah pertandingan berprestij yang mengetengahkan inovasi berkaitan penyelidikan pendidikan yang dijalankan oleh para sarjana institusi pengajian tinggi (awam atau swasta), agensi, pemain industri, dan pelajar sekolah (prasekolah, rendah atau menengah) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dalam pertandingan ini, projek bertajuk “KongsiMakan: Location-Based Food Sharing Mobile Application” yang diketuai oleh Putra Amir Khairi Amir Mohd Zulkifli, bersama ahli kumpulannya Raja Nur Aliesa Raja Husain dan Dian Farah Hanie Roslan telah mendapat perhatian juri dan berjaya meraih Gold Award bagi Kategori Institusi Pengajian Tinggi serta menerima Special Award (Commercialization) bernilai RM5,000.
Projek ini dibangunkan sebagai solusi digital untuk mengurangkan pembaziran makanan dengan memanfaatkan teknologi lokasi bagi menghubungkan komuniti setempat yang ingin berkongsi makanan lebihan secara selamat dan mudah.
Kejayaan ini turut dibimbing oleh penyelia projek, Ahmad Nurzid Rosli yang memainkan peranan penting dalam memberi tunjuk ajar sepanjang proses pembangunan dan pembentangan projek.
Pencapaian ini mencerminkan keupayaan FKMT dalam melahirkan individu yang berdaya cipta, berkemahiran tinggi dan bersedia untuk menyumbang kepada inovasi masyarakat melalui teknologi. Ia juga membuktikan bahawa UPSI mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berpotensi untuk diketengahkan di peringkat pengkomersialan dan antarabangsa.
