Oleh: Nur Aisyah Maisarah Azanil dan Nur Amani Omar
Tanjong Malim, 19 Mei 2025 – Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (iFurqan), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan satu sesi perbincangan kerjasama telah berlangsung antara pihak iFurqan dan wakil dari Hayrat Malaysia di Bilik Mesyuarat Aras 3, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI.
Hayrat Malaysia merupakan cabang wakilan rasmi Yayasan Hayrat Turki yang berperanan dalam menyebarkan nilai-nilai pendidikan Islam berdasarkan Risalah An-Nur karya Badiuzzaman Said Nursi. Delegasi Hayrat Malaysia telah diketuai oleh Presiden Hayrat Malaysia, Ustaz Sadik Ozata dan Timbalan Presiden, Ustaz Yusuf Kara serta dua orang lagi dari pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Pihak iFurqan pula diwakili oleh Prof. Dr. Azmil Hashim selaku Pengarah iFurqan, Dr. Husna Husain, Ketua Jabatan Pengajian Islam, serta barisan pensyarah dan pihak pengurusan jabatan. Program lawatan ini telah diselaraskan oleh Dr. Nur Ainul Basyirah Alias, yang memainkan peranan utama dalam memastikan kelancaran keseluruhan sesi akademik dan perbincangan tersebut.


Sesi perbincangan ini memberi tumpuan kepada peluang jalinan kerjasama antara UPSI dan Hayrat Malaysia dalam pelbagai aspek pendidikan dan pembangunan pelajar. Antara perkara yang dibincangkan termasuklah penganjuran seminar dan kolokium berkaitan pemikiran Said Nursi, program pertukaran pelajar dan staf akademik ke Turki, sumbangan bahan ilmiah seperti terjemahan Risalah An-Nur, serta penglibatan pelajar dalam program rohani dan kesukarelawanan yang dianjurkan oleh Hayrat Relief Malaysia.
Hayrat Malaysia turut menyatakan kesediaan untuk menyumbang kepada pembangunan pelajar UPSI melalui latihan kepimpinan, bengkel pembangunan sahsiah dan program ilmiah yang berteraskan nilai-nilai Islam sejagat. Kerjasama ini dijangka mampu membuka ruang kepada pelajar dan pensyarah iFurqan untuk meneroka pendekatan dakwah dan pendidikan yang lebih luas di peringkat serantau dan antarabangsa.


Sebagai tanda kesepakatan awal, kedua-dua pihak bersetuju untuk memeterai Surat Niat (Letter of Intent) dalam masa terdekat dan merancang penganjuran program bersama dalam masa terdekat. Perbincangan susulan akan terus dilaksanakan bagi memperincikan bentuk kerjasama yang lebih strategik dan menyeluruh pada masa akan datang.
