Oleh: Suriani Shariff, Nurshuhada Mohd Saad, Fazilah Zakaria

Tanjong Malim, 18 Julai 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited dalam melahirkan modal insan berprestasi tinggi serta menyahut hasrat kerajaan bagi memastikan kecemerlangan penjawat awam sentiasa dipertingkatkan menerusi Program Pementoran. Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah pelan berterusan takungan bakat (Talent Pool) universiti. Bertempat di Dewan Sri Tanjong, Majlis Perasmian Program Pementoran Kakitangan UPSI bagi tahun 2025 telah berlangsung dengan penglibatan seramai 52 orang mentor dan 56 orang menti. Majlis disempurnakan oleh Anis Azlira Ali, Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Sumber Manusia UPSI, mewakili pengurusan tertinggi universiti.

Merujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan Bil. 18 Tahun 2005: Panduan Aplikasi Psikologi Dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam, Program Pementoran bertujuan untuk memberikan bimbingan, khidmat nasihat serta sokongan secara profesional oleh mentor bagi pembangunan dan peningkatan kompetensi kerja menti yang bersifat jangka panjang. Mengambilkira kepada pekeliling berkenaan, pelaksanaan Program Pementoran bagi kakitangan UPSI telah bermula sejak tahun 2011 yang mensasarkan kakitangan baharu melapor diri sama ada bertaraf tetap mahu pun kontrak. Unit Pengurusan Bakat, Bahagian Sumber Manusia telah dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan program ini dan sehingga kini telah merekodkan penglibatan seramai 469 orang kakitangan.

Anis Azlira Ali berucap dalam majlis perasmian menyatakan “pemilihan mentor dibuat secara telus melalui kaedah soal selidik dan pencalonan daripada Ketua Pusat Tanggungjawab sendiri tanpa mengabaikan kriteria-kriteria yang telah digariskan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).”

Beliau juga menjelaskan bahawa “keutamaan pemilihan mentor juga dibuat dalam kalangan kakitangan yang telah berada dalam kelompok Talent Pool universiti serta melihat kepada pencapaian serta prestasi kerja mentor berkenaan manakala pemilihan menti dibuat berdasarkan tarikh lapor diri staf berkenaan bermula pada Jun 2024 tahun lalu sehingga April tahun ini.”

Beliau turut menekankan dalam ucapannya bahawa “pemadanan antara mentor dan menti tidak terhad kepada bidang kepakaran yang sama sahaja memandangkan skop pementoran ini melibatkan pemindahan pengetahuan dan pengalaman kerja meliputi kompetensi profesional, budaya, peribadi dan sosial.”

Proses pementoran ini akan berlangsung selama 6 bulan bermula pada 18 Julai 2025 dan dijangka tamat pada 2 Januari 2026.  Tempoh ini dibahagikan kepada 5 fasa iaitu Fasa 1: Membina Kepercayaan, Fasa 2: Mengenalpasti Kompetensi, Fasa 3: Strategi Membina Kompetensi, Fasa 4: Membina Kompetensi Baru dan Fasa 5: Penilaian. Kesemua peserta dibekalkan dengan carta perbatuan serta senarai dokumen yang perlu dilengkapkan mengikut pecahan fasa berkenaan. Pelaksanaan program ini boleh dibuat sama ada secara bersemuka atau maya mengikut kesesuaian mentor dan menti. Mentor dan menti juga dikehendaki untuk merekodkan hasil daripada program pementoran ini melalui MyUPSI Portal masing-masing pada akhir program.

Melalui program ini, pelbagai pencapaian telah dibuktikan hasil daripada bimbingan mentor pada tahun-tahun lalu antaranya kejayaan menti menerbitkan artikel jurnal, mendapatkan geran penyelidikan, penghasilan produk inovasi, menganggotai badan profesional, seterusnya berjaya mempraktikkan serta menyesuaikan diri dengan amalan dan budaya kerja kelas pertama di UPSI.

“Semoga kerjasama dan hubungan profesional yang terjalin antara mentor dan menti tidak terhenti setelah program ini tamat malah diteruskan pada masa-masa yang akan datang dalam usaha kita melahirkan dan membentuk individu berkemahiran serta bermotivasi untuk mendokong visi dan misi universiti” ujar Anis Azlira Ali dalam ucapan penutupnya.