Oleh : Fauzi Basri
CYBERJAYA, 16 Ogos – Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (KOMAWAR) 2025 yang berlangsung di Multimedia University (MMU), Cyberjaya yang lalu telah menghimpunkan mahasiswa dari seluruh negara dalam usaha memperkukuh komitmen bersama membanteras rasuah.

Program dwitahunan ini membawa tema “Memperkasa Mahasiswa Membentuk Masa Depan Negara”, sekali gus menegaskan peranan golongan muda sebagai ejen perubahan dan duta integriti.

KOMAWAR merupakan kesinambungan daripada Perhimpunan Mahasiswa Anti Rasuah dan Salah Guna Kuasa (PEMARAH) pada 2017 sebelum bertransformasi menjadi KOMAWAR pada tahun 2018.

Sejak itu, program ini telah dianjurkan di pelbagai zon termasuk Universiti Malaysia Perlis (2018), Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Teknikal Melaka (2019), serta Universiti Malaya (2021).

Acara kali ini diserikan dengan pengisian berimpak seperti perkongsian bertajuk “Kaya Harta, Miskin Maruah Rasuah yang Merosakkan” oleh PKPj Mohd Syukri bin Said dari Bahagian Siasatan SPRM, selain segmen Bicara Inspirasi bertajuk “Impak Media Dalam Pembanterasan Rasuah, Berkesan Ke?” yang menampilkan Ashwad Ismail, Ketua Pengarang Astro Awani bersama Kishore Kumar Ayyawoo, Penolong Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia.

Program turut mendapat liputan meluas termasuk siaran langsung di platform media sosial Astro Awani. Turut menyerikan majlis penutup ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri KPj Haji Azam bin Baki selaku perasmi hadir bersama-sama Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud.

Segmen Bicara Inspirasi bertajuk “Impak Media Dalam Pembanterasan Rasuah, Berkesan Ke?” yang menampilkan Ashwad Ismail, Ketua Pengarang Astro Awani bersama Kishore Kumar Ayyawoo, Penolong Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia

Dalam pertandingan akhir Berani Bicara 2025. Muhammad Iman bin Azhar dari Universiti Kebangsaan Malaysia dinobatkan sebagai johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, plak serta sijil pencapaian.

Naib johan disandang oleh Muhammad Faris Fiqran bin Muhamad dari MMU (RM2,000), manakala tempat ketiga dimenangi Muhammad Taufiq bin Rosdan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (RM1,000).

Para Pemenang Pertandingan Pengucapan Awam “Berani Bicara 2025”

Persatuan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil peluang untuk turut hadir memberi sokongan bersama-sama AMAR IPTA/S yang lain.

Wakil UPSI, Saudara Muhammad Faiz bin Md Fauzi, pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Pendidikan merangkap Exco Kelab Debat Bahasa Melayu (KDBM), berjaya mara hingga ke peringkat akhir 10 peserta terbaik dalam pertandingan pengucapan awam.

Keterlibatan AMAR UPSI dalam KOMAWAR 2025 menjadi titik tolak dalam mengangkat suara mahasiswa serta memperkukuh nilai integriti di peringkat nasional.

Ucapan tahniah turut diucapkan kepada Saudara Faiz atas pencapaian membanggakan, sementara penganjuran KOMAWAR dilihat sebagai salah satu platform penting dalam membentuk generasi muda yang bebas rasuah dan berintegriti tinggi.