Oleh: Ng Zhen Fan Shankar

Kuala Lumpur, 26 September – Suasana penuh emosi terpancar di KLIA apabila sekumpulan mahasiswa baharu dari Sabah dan Sarawak tiba dengan membawa semangat dan harapan tinggi untuk memulakan perjalanan mereka di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Walaupun senyuman tidak lekang di bibir, jelas kelihatan mata yang berkaca kerana meninggalkan ibu bapa serta keluarga tercinta di tanah kelahiran Borneo bukanlah sesuatu yang mudah. Bagi ramai mahasiswa, ini adalah kali pertama mereka berjauhan dari keluarga. Ada yang ditemani ayah dan ibu sehingga ke lapangan terbang, dengan pelukan terakhir menjadi penguat semangat sebelum mereka melangkah ke dunia baharu.

“Hati memang berat untuk lepaskan anak, tapi saya yakin UPSI akan mendidiknya menjadi insan berjaya,” kata seorang ibu dari Kota Kinabalu dengan nada sebak. Namun, di sebalik perasaan rindu yang bakal mereka tempuhi, mahasiswa baharu ini hadir dengan tekad yang membara.

Mereka melihat peluang menuntut ilmu di UPSI sebagai tiket untuk mengubah nasib keluarga dan masyarakat. “Saya datang dengan harapan untuk menimba ilmu dan kembali ke kampung sebagai pendidik yang boleh berbakti,” ujar seorang pelajar dari Kuching penuh keyakinan.

Sambutan mesra daripada sukarelawan dan pegawai UPSI di KLIA sedikit sebanyak mengurangkan rasa gementar mereka. Dengan sokongan rakan-rakan baharu, mereka mula menyulam keyakinan bahawa UPSI akan menjadi rumah kedua yang sarat dengan pengalaman bermakna. Perjalanan ke Tanjung Malim bukan sekadar berpindah lokasi, tetapi sebuah langkah besar menuju masa depan yang lebih cerah.

Di sebalik kerinduan yang bakal menggamit hati, mahasiswa baharu dari Borneo berjanji pada diri untuk menunaikan amanah ibu bapa. Mereka yakin, pengorbanan meninggalkan kampung halaman akan berbaloi apabila suatu hari nanti kembali dengan kejayaan yang mampu membanggakan keluarga dan negeri tercinta.