Oleh : NURUL SHAFINAZ AZRI, MUHAMMAD FAHMI SAMSUDIN & EVLYN CYREL LEE FANG EDWIN

KUALA KANGSAR, 19 Oktober – Program Jamboree UKLK 3.0 “Paddle For Nature” telah berlangsung dengan penuh semangat selama tiga hari berturut-turut bermula 17 hingga 19 Oktober di Pusat Latihan Lang Buana, Kuala Kangsar.

Program ini dianjurkan oleh Exco Kesukarelawan Alam Sekitar dan Exco Sukan dan Rekreasi Majlis Mahasiswa Kediaman Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) dengan penyertaan seramai 66 orang peserta.

Program ini dirasmikan dan ditutup oleh Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani bin Che Kob selaku Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK).

Pengetua UKLK, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani bin Che Kob memberi ucapan semasa penutupan program Jamboree UKLK 3.0 Paddle For Nature
Aktiviti Ground Tactical Swimming ,Airborne Jump
Aktiviti Ground Tactical Swimming ,Airborne Jump

Menurut Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani bin Che Kob, program jamboree ini merupakan inisiatif utama dalam mewujudkan mahasiswa luar kampus yang mempunyai semangat kesukarelawan, kecintaan terhadap alam sekitar, serta membina daya tahan fizikal dan mental dalam kalangan mahasiswa.

“Jadikanlah Program Jamboree UKLK 3.0 ini sebagai satu batu loncatan kepada kita semua supaya kita menjadi seorang mahasiswa luar kampus yang hebat bukan sahaja dalam aspek pendidikan malahan hebat dalam pelbagai bidang yang disertai.

Sebagai seorang mahasiswa, amat penting untuk dititikberatkan tentang perkembangan holistik sebelum menjadi seorang pendidik mahupun seorang pemimpin.

Saya juga menggalakkan agar semua mahasiswa luar kampus terus mencabar diri agar mampu menjadi seorang mahasiswa yang sentiasa bergerak ke depan”.

   Aktiviti pembersihan sungai
   Aktiviti pembersihan sungai
   Aktiviti pembersihan sungai

Program Jamboree UKLK 3.0 Paddle For Nature ini juga merupakan satu langkah yang penting dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan antara Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK), Rakan Exco (RE) Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus dan juga staf dan pentadbir Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK).

Selain itu, program ini juga memainkan peranan yang penting untuk memupuk interaksi sosial antara peserta yang amat berguna dalam membentuk sahsiah diri.

Pada hari pertama, program Jamboree UKLK 3.0 Paddle For Nature ini dimulai dengan aktiviti keyakinan dalam air.

Pelbagai teknik serta kemahiran telah dipelajari oleh para peserta antaranya ialah teknik mengapungkan diri dalam air yang berarus deras, latihan pengendalian ketika berlaku kecemasan ketika berada dalam air serta kemahiran menggunakan rakit berasaskan buluh sebagai persediaan kepada aktiviti utama keesokan harinya.

   Aktiviti pembersihan sungai
Aktiviti berakit dari Jeti Pasir Kandang Jawang ke Jeti Kuala Kangsar
Aktiviti berakit dari Jeti Pasir Kandang Jawang ke Jeti Kuala Kangsar

Setelah selesai aktiviti keyakinan air, juga berlangsung aktiviti pembersihan kawasan sungai yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa tentang kepentingan menjaga alam sekitar, khususnya kebersihan sungai.

Para peserta memberikan sokongan penuh dalam aktiviti ini, dan pihak bomba juga turut terlibat dalam aktiviti ini.

Semua kumpulan yang terlibat dibekalkan dengan sarung tangan dan plastik sampah untuk mengumpulkan sebanyak mungkin sampah di sekitar sungai. 

Kemuncak program berlangsung pada hari kedua, di mana peserta menempuh cabaran berakit sejauh 24 kilometer merentasi tiga jambatan utama di sepanjang laluan Sungai Perak iaitu Victoria Bridge, Jambatan Sultan Iskandar dan Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah.

Aktiviti ini turut disertai oleh Explorasi Rakit Flotilla 4 Palestin dengan sejumlah 100 orang yang bersama-sama berganding bahu mengibarkan bendera Palestin sebagai usaha kesedaran kepada masyarakat tentang penindasan yang berlaku kepada rakyat Palestin.

Aktiviti ini bukan sahaja menguji kekuatan fizikal dan kerjasama kumpulan, tetapi turut memberi pengalaman yang berharga kepada setiap peserta .

Aktiviti Explorance Challenge dan Survival Masterchef
Aktiviti Explorance Challenge dan Survival Masterchef

Di samping menguji ketahanan mental dan fizikal setiap ahli pasukan, motif utama untuk membersihkan sungai turut diterapkan dalam aktiviti ini bagi menyemai semangat cinta akan alam semula jadi dalam kalangan pelajar. Kelestarian alam semula jadi menjadi nadi utama untuk membentuk kemenjadian generasi akan datang.

Pada hari ketiga, perlaksanaan aktiviti seperti Explorace Challenge merupakan aktiviti yang memerlukan kerjasama dan komunikasi setiap ahli pasukan untuk melengkapkan tugasan yang diberikan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Aktiviti ini merangsang pemikiran  untuk membentuk kemenjadian keperibadian sahsiah seseorang sebagai seorang pemimpin yang hebat dan berkaliber pada masa akan datang bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

Seterusnya, program Jamboree UKLK 3.0 Paddle For Nature diakhiri dengan aktiviti Survival Masterchef sebelum berlangsungnya majlis penutupan.

Program ini dapat mengasah pemikiran kritis seorang mahasiswa untuk meneruskan kelangsungan hidup terutamanya ketika berada jauh dari sebarang bantuan.

Ketika majlis penutupan, Ketua Jurulatih Pusat Latihan Lang Buana, Puan Siti Nurlizawati binti Narawi berkongsi pengalaman di mana beliau juga pernah merasa lemah semangat semasa menjalankan tugas sebagai askar dulu.

“Kalau kamu perasan masa berakit tadi sama macam perjalanan kehidupan kita”, ayat yang digunakan oleh beliau untuk para mahasiswa suntikkan semangat dalam diri disaat mereka ingin menyerah ketika menghadapi liku-liku kehidupan.

Ketua Jurulatih Pusat Lang Buana, Siti Nurlizawati Binti Narawi memberi ucapan semasa penutupan program Jamboree UKLK 3.0 Paddle For Nature
Yang di-Pertua MMKLK Sidang 2025/2026, Irdina Wafa Binti Zulkifli memberi ucapan semasa penutupan program Jamboree UKLK 3.0 Paddle For Nature

Yang di-Pertua MMKLK Sidang 2025/2026, Irdina Wafa Binti Zulkifli sewaktu sesi refleksi program berkata, “Program Jamboree 3.0 ini menjadi pengalaman yang berharga buat kalian,yang baik dialu-alukan untuk bercerita dengan orang luar dan yang buruk sila maklumkan kepada pihak kami untuk perbaiki diri.

Semoga program ini menjadi asbab ikatan bersama antara Majlis Mahasiwa Luar Kampus (MMKLK), Rakan Exco (RE), Felo, Pentadbir dan Pengetua sehingga habis sidang kelak. Pejabat dan Bilik MMKLK sentiasa terbuka untuk menerima kehadiran kalian sebagai rumah kedua selalu.”

Program ini bukan sahaja memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar untuk merancang hala tuju akademik dengan lebih jelas, malah seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 17 : Kerjasama Demi Matlamat.

Kedua-duanya menekankan akses kepada pendidikan inklusif dan peluang pembelajaran sepanjang hayat serta mengukuhkan kerjasama antara institusi.