Putrajaya, 7 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranan sebagai universiti peneraju pendidikan seni dan warisan negara melalui dua projek berimpak tinggi yang dipersembahkan di Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2025, bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 4 hingga 8 November 2025.

Dua projek tersebut – INTRAPeM: Innovating Tradition through Perak Motifs in Macramé dan INODIMOCAP: Hikayat Inderaputra – diketuai oleh penyelidik daripada Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), UPSI, memperlihatkan kekuatan universiti dalam menggabungkan warisan, inovasi dan teknologi kreatif sejajar dengan aspirasi Education 5.0@UPSI dan Malaysia MADANI.


Projek INTRAPeM, diketuai oleh Dr. Intan Khasumarlina Mohd Khalid, menumpukan kepada inovasi kraf tradisional melalui reinterpretasi motif bunga kalumpang, salah satu warisan flora negeri Perak yang kaya dengan makna simbolik dan nilai estetika. Melalui demonstrasi pemindahan ilmu dan aktiviti interaktif, projek ini memberi peluang kepada pengunjung, khususnya pelajar universiti dari seluruh Malaysia, untuk mempelajari teknik macramé moden yang diinspirasikan daripada motif tradisional, sekali gus membina kefahaman terhadap warisan tempatan sebagai sumber inovasi reka bentuk kontemporari.



Inisiatif ini dilaksanakan di bawah Geran Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Program – KTP), yang menekankan perkongsian pengetahuan berasaskan komuniti serta menggalakkan keusahawanan kreatif dan kesejahteraan komuniti (Sustainability and Well-being). INTRAPeM turut menyokong matlamat Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 4, SDG 8 dan SDG 11), dalam membentuk masyarakat progresif, kreatif dan lestari budaya.

“Kami ingin mendidik masyarakat bahawa inovasi tidak semestinya meninggalkan akar budaya. Melalui reinterpretasi motif tradisional seperti bunga kalumpang ke dalam rekaan kontemporari macramé, kita bukan sahaja memelihara identiti tempatan tetapi turut membuka ruang kepada ekonomi kreatif komuniti,” ujar Dr. Intan.


Sementara itu, projek INODIMOCAP: Hikayat Inderaputra, diketuai oleh Dr. Nur Syuhada binti Mat Sin, mempersembahkan karya sastera klasik Melayu Hikayat Inderaputra dalam bentuk animasi digital dan teknologi Motion Capture (MoCap). Projek ini dijalankan bersama kumpulan penyelidikan Kelembai Studios di bawah FSKIK, yang berperanan mengangkat karya warisan ke pentas global melalui 3D animation dan digital storytelling. Projek ini bukan sahaja memperkenalkan semula hikayat Melayu klasik kepada generasi baharu, tetapi turut menonjolkan potensi teknologi digital dalam memperkaya kandungan kreatif berasaskan budaya tempatan.

Kedua-dua projek ini menampilkan kekuatan FSKIK dalam menerapkan nilai empati, kreativiti dan teknologi melalui pendidikan berasaskan seni dan budaya. Ia juga memperlihatkan komitmen UPSI dalam memperkukuh sinergi antara akademia, industri dan komuniti selaras dengan matlamat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperluas impak penyelidikan dan inovasi melalui Festival of Ideas Putrajaya 2025.


Dr. Intan turut merakamkan penghargaan kepada komuniti Putrajaya, pelajar universiti yang terlibat, serta kolaborator industri dan akademik yang menjayakan kedua-dua projek ini. “Kejayaan INTRAPeM dan INODIMOCAP membuktikan bahawa FSKIK-UPSI mampu menerjemahkan warisan bangsa dalam bentuk inovasi kreatif yang relevan dengan masa kini dan masa depan,” katanya.