Peserta “Charity Fun Run: Thousand Steps, Giving Hope”Peserta “Charity Fun Run: Thousand Steps, Giving Hope”

Oleh : Hayana Julkepli dan Aliya Asyikin Rosni

Tanjong Malim, 12 November 2025 – Program “Charity Fun Run: Thousand Steps, Giving Hope” dibawah inisiatif “Humanity Charity Fest: From River to the Sea” merupakan satu larian amal yang telah berlangsung dengan penuh semangat kesukarelawanan serta sarat dengan nilai kemanusiaan.

Program yang dianjurkan oleh Exco Hal Ehwal Residensi, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, Sidang Aurra 2025/2026 ini berjaya menghimpunkan mahasiswa/i Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam usaha menyemai nilai keprihatinan dan sokongan terhadap rakyat Palestin yang masih bergelut dengan akibat konflik.

Program ini diadakan bertujuan untuk mengumpul dana bagi misi kemanusiaan Palestin, di samping menanam rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa UPSI untuk terus peka terhadap isu kemanusiaan dan kesejahteraan global. Kutipan dana tersebut dikumpul melalui aktiviti “Charity Fun Run: Thousand Steps, Giving Hope”  yang disumbangkan kepada Tabung Aman Palestin.

Ucapan Oleh  Profesor Dr. Mohd Nizam Bin Haji Nasrifan,
 Pengetua Kolej Ungku Omar
Aktiviti senamrobik sebelum larian
Antara peserta yang sampai ke garisan penamat

“Harapan saya melalui larian ini adalah agar para peserta bukan sahaja menikmati kegiatan fizikal yang sihat, tetapi juga memahami bahawa program seperti ini membawa maksud yang lebih besar iaitu menyatukan warga kolej, memupuk semangat kebersamaan dan menanam nilai keprihatinan terhadap komuniti sekeliling” kata Profesor Dr. Mohd Nizam Nasrifan, Pengetua Kolej Ungku Omar dalam ucapan beliau sebagai tanda membuka tirai yang menandakan permulaan kepada larian tersebut. 

Setiap langkah yang dibawa oleh peserta menggambarkan sumbangan moral dan sokongan terhadap isu kemanusiaan di Palestin akibat konflik bersenjata  yang berterusan sehingga ke hari ini.

Charity Fun Run: Thousand Steps, Giving Hope bukan sahaja sebagai satu wadah pengumpulan dana semata-mata tetapi juga sebagai inisiatif menzahirkan sokongan terhadap isu kemanusiaan dan moral dalam kalangan mahasiswa UPSI.