Oleh : Maznah Othman
Tanjong Malim, 5 November 2025 – Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus meneguhkan komitmennya terhadap keselamatan maklumat dengan berjaya melepasi Audit Pematuhan SIRIM bagi pengekalan pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) ISO 27001:2022. Audit susulan ini berlangsung pada 3 dan 4 November 2025.
Audit tahun ini dikendalikan oleh dua juruaudit bertauliah daripada SIRIM, iaitu Nur Fatin E’zzati Masruhaizan dan Rohazlin Md Yassin, yang menjalankan penilaian secara komprehensif terhadap tahap pematuhan, keberkesanan kawalan keselamatan, dan amalan kerja yang dilaksanakan oleh Pusat ICT UPSI.
Proses audit merangkumi semakan dokumen, verifikasi pelaksanaan kawalan keselamatan, serta sesi temubual bersama pegawai-pegawai yang terlibat.
Secara keseluruhannya, audit telah berjalan dengan lancar dalam usaha memastikan Pusat ICT sentiasa meningkatkan keberkesanan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat selaras dengan prinsip penambahbaikan berterusan yang digariskan oleh piawaian ISO 27001:2022.

Ketua Pegawai Digital, Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pasukan yang terlibat dalam sesi audit kali ini.
“Sokongan padu serta profesionalisme semua pihak merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kelancaran dan kejayaan pelaksanaan audit ini,” ujarnya. Beliau berharap momentum kejayaan ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

