oleh Arissa Hasya Auni
Tanjung Malim, 10 Disember 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberi sumbangan buku ke sekolah-sekolah di Daerah Muallim dan Hulu Selangor dalama satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berlangsung pada 10 Disember 2025 sempena Hari Terbuka Pejabat Karang Mengarang (PKM) ”Moh Ke Kedai Buku” bertempat di UPSI.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Pengarah Pejabat Karang Mengarang UPSI, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah. Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Pengarah (Penarafan dan Pengantarabangsaan), Dr Laili Farhana Md Ibharim dan Penyelaras Program Hari Terbuka yang juga Timbalan Pendaftar Kanan UPSI, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain.
Lima buah sekolah yang menerima sumbangan buku ini termasuklah SMK Khir Johari, SMK Methodist, Tanjung Malim, SMK Slim dan SMK Dato’ Zulkifli Muhammad, Slim River dan SMK Kampong Soeharto Felda Kg Soeharto, Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Turut dalam senarai sumbangan termasuklah SMK Proton City, SMK Behrang 2020 SMK Agama Slim River dan SMK Kalumpang, Selangor.
Mereka masing-masing diwakili oleh Nadiah Muhammad, Guru Perpustakaan dan Media SMK Khir Johari, Norhasrinza Ab Wahab, Guru Perpustakaan dan Media, Norul Irwan Shah Jamaludin, Warden Asrama SMK Slim, Nurain Ismail, Guru Perpustakaan dan Media, SMK Dato’ Zulkifli Muhammad dan Idaazwin Muhammad Akasah@Akasah.
Menurut Nordiana, Program Hari Terbuka PKM ini julung julung kali diadakan bertujuan mendekatkan UPSI bersama komuniti melalui aktiviti CSR sesuai dengan peranan PKM sebagai penerbit buku UPSI yang mempunyai reputasi kukuh.
PKM pernah dinobatkan sebagai Penerbit Prolifik sempena Anugerah Buku Negara 2023 dan baru baru ini merangkul empat anugerah dalam Majlis Anugerah MAPIM-KPT dan lima Anugerah Buku Negara 2024-2025 melalui penerbitan buku dan jurnal serta pencapaian kakitangan mereka.
”Salah satu sumbangan kecil kami ialah memberi sumbangan buku buku terbitan UPSI ke sekolah sekolah untuk dibaca oleh warga pendidik dan para pelajar” kata Nordiana.

Menurut Nordiana lagi, antara buku yang dirancang bakal ditempatkan di sekolah-sekolah termasuklah buku biografi Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, yang pernah memenangi Anugerah Buku Negara 2023.
”buku ini dilancarkan oleh wakil Menteri Pendidikan Malaysia, Norhayati Ab Wahab, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan pada 9 November 2024” kata Nordiana lagi.
Dengan meluasnya buku buku terbitan UPSI di sekolah sekolah memberi banyak ruang kepada warga pendidik untuk mendapatkan bahan bahan ilmiah yang ditulis oleh ilmuan UPSI selain menerima bahan-bahan bacaan berkualiti.

