Oleh: Ahmad Nazri Ismail dan gambar: Mohd Halimi Miswan

Tanjong Malim, 31 Disember 2025 – Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Program Kurator Muda sempena cuti sekolah yang berlangsung pada 31 Disember 2025 bertempat di Muzium Pendidikan Nasional. Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar berusia antara 12 hingga 15 tahun, sekali gus mencerminkan minat generasi muda terhadap bidang sejarah, warisan dan permuziuman.

Menurut, Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Said, Pengarah Institut Peradaban Melayu, Program Kurator Muda ini dirangka sebagai satu inisiatif pendidikan berimpak tinggi yang bertujuan memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai asas permuziuman, kuratorial serta pemeliharaan warisan. Di samping itu, program ini turut berperanan sebagai platform pembelajaran bagi meningkatkan kefahaman peserta terhadap fungsi muzium sebagai institusi pendidikan tidak formal yang berperanan penting dalam pemeliharaan sejarah dan warisan negara.

Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya generasi muda terhadap kepentingan muzium dan pendidikan, memberikan pendedahan asas berkaitan peranan serta tanggungjawab seorang kurator, memupuk minat terhadap warisan budaya dan konservasi artifak, serta menggalakkan pembelajaran aktif melalui pendekatan interaktif dan kolaboratif.

Dr. Fareez Vincent Amos@Mohd Fadly, Timbalan Pengarah (Permuziuman dan Galeri) dalam ucapan alu-aluannya menyatakan program Kurator Muda memberi penekanan kepada perkongsian ilmu berkaitan peranan muzium dalam konteks kepentingan Sejarah dan pendidikan.

Para peserta turut dibawa melawat Muzium Pendidikan Nasional bagi memahami sejarah perkembangan pendidikan negara serta disusuli dengan aktiviti Jejak Warisan yang berfungsi sebagai medium pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah dan idea.

Turut dijalankan aktiviti kreatif ikat dan celup (Tie & Dye) dan pembelajaran cetakan baju yang menekankan elemen kreativiti, ekspresi seni dan kerja berpasukan. Hasil cetakan baju yang oleh peserta telah diberikan sebagai saguhati untuk dibawa pulang, sekali gus menjadi simbol pengalaman pembelajaran yang bermakna.

Bertemakan Kurator Muda, para peserta diperkenalkan tentang konservasi artifak, iaitu salah satu aspek penting dalam kerja-kerja kuratorial. Melalui aktiviti ini, peserta diberi gambaran awal mengenai kaedah pemeliharaan dan pemuliharaan bahan warisan yang merangkumi proses eskavasi, pendaftaran serta kerja-kerja baik pulih artifak. Ini secara tidak langsung meningkatkan kefahaman peserta terhadap nilai dan kepentingan pemeliharaan terutama  khazanah sejarah negara.

Majlis penyampaian hadiah serta sijil penyertaan yang disempurnakan oleh Prof. Tajul Shuhaizam Said, Pengarah Institut Peradaban Melayu, bersama-sama Timbalan Pengarah (Pascasiswazah dan Penyelidikan), Dr. Md Zahril Nizam Md Yusuf.

Penganjuran Kurator Muda IPM @ UPSI ini selari dengan aspirasi UPSI dalam melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, berbudaya serta mempunyai kesedaran tinggi terhadap pendidikan, pemeliharaan sejarah dan khazanah warisan negara.