Oleh: Ku Nurul Ain Farihah Binti Ku Md Shah & Encik Mohamad Kamal Kamaruddin
TANJONG MALIM, 31 Disember 2025 – Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Bengkel Penulisan Ilmiah bertempat di Bangunan E-Pembelajaran 4, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di sini.

Program tersebut melibatkan seramai 122 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Semester 1 Batch Tun Teja serta pelajar kemasukan khas Semester 1. Bengkel ini menampilkan Dr. Siti Zahra Mahfood, pensyarah dari Jabatan Sejarah UPSI, sebagai penceramah jemputan.
Bengkel Penulisan Ilmiah ini merupakan inisiatif Exco Akademik dan Pembangunan Sahsiah PERMAS yang bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada mahasiswa mengenai kaedah serta format penulisan ilmiah yang betul dan berkesan. Penganjuran program ini diharap dapat membantu mahasiswa menghasilkan penulisan akademik yang lebih berkualiti dan menepati standard ilmiah.


Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta turut didedahkan kepada pelbagai tips serta kaedah penulisan ilmiah yang sistematik dan berkesan. Perkongsian ilmu oleh penceramah dijangka dapat membantu mahasiswa memahami serta mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam proses pembelajaran di dalam bilik kuliah.
Selain itu, mahasiswa Sejarah turut diberikan pendedahan berkaitan pemilihan sumber rujukan yang berkualiti, selari dengan keperluan menghasilkan penulisan ilmiah yang berautoriti dan berintegriti. Bengkel ini juga berperanan melatih mahasiswa untuk menilai, memperbaiki dan memantapkan hasil penulisan melalui pendekatan serta teknik yang dikongsikan.
Secara keseluruhannya, penganjuran Bengkel Penulisan Ilmiah ini telah memberi manfaat yang signifikan kepada mahasiswa dalam meningkatkan kefahaman dan kemahiran penulisan akademik. Program ini bukan sahaja membantu menghasilkan penulisan ilmiah yang berkualiti, malah menyumbang kepada pembentukan pemikiran kritis serta kemantapan intelektual dalam kalangan mahasiswa Sejarah UPSI.
