oleh Muhammad Hazim Hamri, Muhammad Haziq Hakeemi zulkipli dan Dr. Pau Kee
Tanjong Malim, 12 April 2026- Di balik senyuman, ada emosi yang tidak terucap. Dalam dunia yang sentiasa menuntut, siapa sebenarnya menjaga luka tidak kelihatan? Emotional First Aid: Training For Students tampil sebagai ruang untuk menyedarkan bahawa menajaga emosi bukan satu pilihan, tetapi satu keperluan.
Program ini membawa pelajar menyelami kefahaman tentang kesihatan mental, mengenal tanda-tanda awal tekanan dan membina kekuatan untuk bangkit bukan secara bersendirian tetapi bersama sama.
Program Emotional First Aid: Training For Student dianjurkan dengan matlamat memperkasa kesedaran serta kepekaan pelajar terhadap kesihatan emosi dalam kalangan rakan sebaya.
Melalui program ini, para peserta didedahkan dengan pengetahuan penting berkaitan tanda-tanda awal tekanan emosi dan stres, sekali gus membolehkan mereka bertindak lebih awal sebelum situasi menjadi kritikal.
Selain itu, program ini turut memberi penekanan kepada pembentukan kemahiran pengurusan emosi yang berkesan, termasuk keupayaan mengenal pasti emosi diri, mengawal reaksi secara positif serta menyalurkan sokongan yang tepat kepada rakan yang berdepan tekanan.
Pendekatan ini dilihat mampu melahirkan pelajar yang bukan sahaja cakna, malah bersedia menjadi ‘penyokong emosi’ dalam komuniti kampus.
Dalam masa yang sama, inisiatif ini diharapkan dapat membentuk budaya kampus yang lebih empati, prihatin dan responsif terhadap isu kesihatan mental, seterusnya melahirkan generasi pelajar yang lebih seimbang dari segi emosi dan sosial.
Pengarah Program, Nur Shahirah Mohd Amin, menyatakan rasa syukur dan penghargaan atas komitmen serta kerjasama padu daripada semua pihak yang terlibat sepanjang penganjuran program Emotional First Aid: Training For Student.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan jawatankuasa pelaksana, para peserta serta pihak yang sentiasa memberikan sokongan dalam menjayakan inisiatif ini.
Menurut beliau, program ini bukan sekadar platform pendedahan ilmu, malah menjadi satu langkah proaktif dalam memperkasa kesedaran pelajar terhadap kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi, di samping melahirkan komuniti kampus yang lebih empati, cakna dan saling menyokong.“
Program ini merupakan satu inisiatif penting dalam meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi, khususnya dalam mendepani pelbagai cabaran kehidupan kampus masa kini,” ujar beliau.
Kita diajar sejak kecil cara untuk merawat luka pada tubuh dibersihkan, disapu ubat dan ditampal agar cepat sembuh.
Namun, apabila melibatkan luka pada jiwa, kita sering dibiarkan tanpa panduan untuk memahami dan menyembuhkannya. Luka emosi tidak kelihatan, namun kesakitannya sering lebih dalam dan berpanjangan.
Penolakan, kegagalan, dan pengalaman yang melukai boleh mencetuskan rumination serta merendahkan harga diri jika dibiarkan.
Seperti yang dinyatakan oleh Dr Pau Kee, “Invisible wounds can often be the hardest to heal. Just because you can’t see the pain doesn’t mean it isn’t there.”
Hakikatnya, luka yang tidak kelihatan itulah yang paling memerlukan perhatian. Menjaga kesihatan emosi bukan kelemahan tetapi satu keperluan.
Sebagai pengisian utama program, peserta telah didedahkan kepada aktiviti refleksi kendiri yang bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap emosi serta kecederaan psikologi yang dialami dalam kehidupan seharian.
Melalui lembaran penilaian kendiri, peserta dibimbing untuk mengenal pasti pelbagai emosi seperti stres, kesedihan, kekeliruan dan kesunyian.
Selain itu, peserta turut diperkenalkan kepada tujuh psychological injuries utama, iaitu penolakan (rejection), kesunyian (loneliness), kehilangan dan trauma (loss & trauma), rasa bersalah (guilt), rumination, kegagalan (failure) serta harga diri rendah (low self-esteem).
Pendedahan ini membantu peserta memahami bahawa pengalaman emosi tersebut adalah normal, namun memerlukan pengurusan yang baik bagi mengelakkan kesan negatif terhadap kesejahteraan mental.
Secara keseluruhannya, aktiviti ini berjaya meningkatkan kesedaran peserta terhadap kepentingan menjaga kesihatan emosi serta mengaplikasikan konsep emotional first aid dalam kehidupan seharian.
Program Emotional First Aid: Training For Student telah berlangsung dengan lancar dan berjaya mencapai objektif yang telah digariskan.
Penganjuran program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran serta kefahaman pelajar terhadap kepentingan kesihatan emosi, malah turut memupuk sikap empati dan keprihatinan dalam kalangan warga kampus.
Secara keseluruhannya, program ini memberikan impak yang positif dan signifikan, sekali gus wajar diteruskan sebagai inisiatif berterusan dalam memperkasa kesejahteraan mental pelajar pada masa hadapan.
