oleh Nur Shahirah Mohd Amin, Yap Xiu Wen dan Dr. Pau Kee
Tanjong Malim, 11 Mac 2026- Bersempena sambutan Hari Wanita, Persatuan Psychological First Aid (PFA) UPSI telah menjalankan satu program iaitu Program Bloom Within: Women’s Health Talk yang memberi fokus kepada kesejahteraan wanita secara holistik serta membantu wanita mengenal pasti punca stres, memahami keperluan emosi diri dan mempelajari kaedah pengurusan tekanan yang berkesan.
Program ini juga menyediakan ruang untuk para wanita bertanya, berkongsi dan menghargai diri. Program ini juga terbuka kepada golongan lelaki sebagai cara meningkatkan kefahaman terhadap keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh wanita.
Melalui perkongsian ilmu dan pengalaman daripada pakar, para lelaki dapat membina empati serta menjadi lebih peka dan bijak dalam memahami wanita, sekali gus menyumbang kepada hubungan yang lebih harmoni dan saling menghormati.



Program Bloom Within: Women’s Health Talk dianjurkan dengan tujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kesihatan wanita dari aspek mental, emosi dan fizikal Keseimbangan ketiga-tiga aspek ini mampu menyumbang kepada kesejahteraan diri secara menyeluruh, sekali gus membantu mereka menjalani kehidupan harian dengan lebih sihat, produktif dan berkualiti.
Selain itu, membimbing wanita dalam mengenal pasti faktor utama yang menyumbang kepada stres dan cabaran emosi.
Dengan itu, wanita dapat menjadi lebih peka terhadap keadaan emosi sendiri seterusnya mengambil langkah awal bagi mengelakkan tekanan menjadi lebih serius.
Di samping itu, program ini turut memberikan panduan, pengetahuan serta teknik praktikal pengurusan stres yang berkesan untuk membantu wanita mengurus stres secara sihat, membina ketahanan emosi serta meningkatkan kualiti hidup agar lebih seimbang dan bermakna dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
“Bagi saya, kesihatan merangkumi pelbagai aspek bukan sahaja dari segi fizikal, malah turut melibatkan kesihatan mental, emosi dan sosial,” kata Dr Pau Kee selalu perasmi Program Bloom Within: Women’s Health Talk ini.
Beliau juga menegaskan bahawa program seperti ini amatlah penting dalam meningkatkan kesedaran tentang peranan wanita sebagai satu indikator penting dalam memastikan kesejahteraan keluarga dan komuniti.
Beliau juga turut menegaskan bahawa seseorang boleh menjaga orang yang disayangi agar mereka dapat hidup dengan gembira serta mengekalkan kualiti hidup yang baik dan sejahtera.
“Program ini sebenarnya menunjukkan bagaimana seseorang itu melalui proses perkembangan diri seperti bunga yang bermula dari kecil dan akhirnya berkembang menjadi cantik,” tambahnya lagi.
Kesihatan mental wanita dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk tekanan sosial serta trauma seperti keganasan domestik terutamanya dalam rumah tangga.
Dalam slot 1 program itu, Dr Isabella Rossellini Roslan menekankan bahawa perubahan hormon juga memberi kesan kepada kesihatan mental wanita, khususnya kitaran haid apabila sebahagian wanita mengalami Premenstrual Syndrome (PMS) serta simptom seperti keletihan, sakit kepala dan gangguan tidur sebelum datang haid.
Menurut beberapa kajian, wanita lebih cenderung untuk mengalami kebimbangan dan kemurungan berbanding lelaki disebabkan oleh gabungan faktor biologi dan sosial. Kebanyakan individu yang mempunyai gangguan mental dipercayai berada dalam lingkungan umur 20 hingga 30 tahun.
Dalam slot 2, beliau turut menegaskan bahawa penjagaan diri amatlah penting kerana ia merupakan langkah pencegahan dalam kesihatan mental yang menekankan keseimbangan emosi, mental, rohani dan fizikal selain daripada membantu mengurangkan tekanan yang berlebihan. Oleh itu, kesedaran terhadap kesihatan mental perlu diperkukuh agar setiap individu menjadi lebih peka dengan keadaan sekeliling.
Sebagai pengisian utama program, peserta telah didedahkan kepada cara untuk mengendalikan masalah dengan lebih teratur, iaitu coping skills dengan mengenalpasti apa itu perbezaan antara problem-focused coping dan emotion-focused coping.
Aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran peserta tentang kepentingan menyelesaikan masalah dengan cara yang betul agar dapat mengurangkan tekanan, disamping meningkatkan kesejahteraan mental.
Peserta turut disediakan dengan lembaran kerja yang merangkumi beberapa bahagian termasuk mengenali emosi, mengenal pasti punca, amalan penjagaan diri (self care), peneguhan diri (affirmation) dan sebagainya.
Lembaran kerja ini diedarkan bagi membantu peserta untuk membuat refleksi diri, memahami keadaan emosi masing-masing serta mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
Program tersebut berjaya meningkatkan kesedaran peserta terhadap kesejahteraan emosi wanita, sekaligus meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga emosi dalam kehidupan seharian, khususnya dalam menghadapi tekanan yang berlebihan.


Secara keseluruhannya, program Bloom Within: Women’s Health Talk telah berjaya dilaksanakan dengan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan, sekali gus meningkatkan kesedaran wanita terhadap kepentingan kesihatan mental, emosi dan fizikal.
Diharapkan agar segala ilmu dan perkongsian yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian serta menjadi langkah awal ke arah membentuk kesejahteraan diri yang lebih seimbang dan berterusan.
