Oleh: Dr. Nasrul Hakim Salleh
Seremban– Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah mengambil Langkah komprehensif bagi mendokong aspirasi Kerajaan untuk melahirkan generasi belia yang mampan dan yang kalis dengan sebarang permasalahan yang melanda.
Justeru, JBSN telah menganjurkan bengkel bagi membentuk modul Program Kepimpinan dan Jati Diri Belia (PKJD) yang berlangsung selama tiga hari bermula 21-23 April 2026 di Klana Resort, Seremban.
Bengkel tersebut melibatkan agensi daripada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Akademi Kenegeraan Malaysia (AKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Belia, JBSN, Dr. Zainah Shariff, ketika ucapan perasmian bengkel, beliau menyatakan bahawa PKJD sangat signifikan dan menjadi keperluan mendesak dalam menyediakan generasi belia yang berdaya tahan.
Data dan fakta yang dikeluarkan oleh IYRES menunjukkan bahawa pembangunan belia Malaysia memerlukan pendekatan yang lebih agresif dan menyeluruh bagi melahirkan generasi belia yang holistik, sekaligus menjadi modal insan negara yang bakal menjadi penampan kepada segala anasir negatif.
Beliau turut berharap melalui PKJD ini juga, minat belia terhadap persatuan belia dapat disuburkan kembali kerana ini merupakan tahun pertama pelaksanaan had umur belia yang baharu (15 – 30 tahun) berdasarkan Akta 668.
PKJD juga bersifat serampang dua mata, apabila menfokuskan dua aspek secara serentak iaitu kepimpinan dan jati diri belia.
