Gambar Beramai-ramai Gambar Beramai-ramai

Disediakan oleh : Hasya Hayazi & Cordelia Petrus 

Tanjong Malim, 22 April 2026 – Keindahan seni tradisi mewarnai pentas apabila program Malam Alunan Hikayat: Drama Tari berjaya dianjurkan dengan penuh gemilang di Panggung Budaya, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program anjuran Exco Warisan, Seni dan Budaya, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar sesi 2025/2026 ini menjadi wadah istimewa dalam mengetengahkan keunikan warisan budaya Nusantara melalui pendekatan seni persembahan yang kreatif dan menyentuh jiwa.

Bertemakan penghayatan hikayat, program ini memberi peluang kepada para peserta untuk mengekspresikan bakat dan kreativiti mereka melalui gabungan elemen drama, tarian dan muzik yang diolah secara naratif. Setiap persembahan bukan sekadar hiburan, malah sarat dengan nilai budaya, mesej moral serta refleksi sosial yang berjaya menyentuh emosi para penonton. Gerak tari yang puitis, lakonan yang penuh penghayatan serta iringan muzik yang memukau menjadikan setiap segmen persembahan tampil hidup dan berkesan.

Persembahan dari Kumpulan Kesenian Negeri Pahang
Persembahan dari UPI
Persembahan dari Citra Arjana, UPSI

Program ini diisi dengan penyertaan pelajar yang menampilkan karya berinspirasikan hikayat dan warisan budaya Nusantara, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian interpretasi seni dalam kalangan generasi muda. Pertandingan ini telah disertai oleh beberapa kumpulan utama iaitu Kumpulan Kesenian Negeri Pahang (KKNP) yang membawa persembahan tentang “Luka Empayar Sunyi” yang mengisahkan tentang cinta, pengorbanan dan kesetiaan yang mendalam, digabungkan dengan konflik antara kebaikan dan kejahatan dalam suasana epik dan tragis. 

Kumpulan Citra Arjana daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula membawa persembahan “ritual Ulek Mayang” yang mengisahkan tentang kepercayaan rakyat dahulu tentang makhluk laut, puteri kayangan dan amalan bomoh dalam menyembuhkan gangguan makhluk halus. Setiap kumpulan mempersembahkan keunikan gaya dan identiti budaya tersendiri. Keunikan setiap persembahan jelas menggambarkan usaha berterusan dalam memelihara serta memartabatkan seni tradisional agar terus relevan dalam arus moden.

Persembahan khas dari pelajar FMSP
Persembahan khas dari pelajar FMSP
Persembahan khas dari pelajar UiTM

Wakil tunggal antarabangsa, Universitas Pendidikan Indonesia pula menyajikan rentak drama tari luar biasa yang menceritakan keindahan anak kecil bermain permainan tradisional dengan irama lagu yang sangat merdu. Kelainan yang dibawa dapat dipelajari mahasiswa UPSI dengan gabungan nusantara yang sangat menarik.

Selain pertandingan utama, program ini turut diserikan dengan persembahan khas daripada pelajar FMSP serta jemputan khas daripada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) luar, yang menambahkan lagi variasi dan kemeriahan pentas pada malam tersebut. Persembahan-persembahan ini bukan sahaja mempamerkan bakat seni yang luar biasa, malah memperkukuhkan jaringan kolaborasi antara institusi dalam usaha memartabatkan seni budaya.

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pihak penaja, iaitu Ghawwiz Enterprise yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran serta kejayaan penganjuran program ini. Sumbangan yang diberikan bukan sahaja membantu dari segi pelaksanaan, malah mencerminkan komitmen pihak luar dalam menyokong usaha pemartabatan seni dan budaya dalam kalangan mahasiswa.

Ucapan ChM. Dr. Mohamad Saufi bin Rosmi, Pengerusi Majlis Felo Kolej-Kolej Kediaman
Gambar bersama Penaja Utama, Ghawwiz Enterprise

ChM. Dr. Mohamad Saufi bin Rosmi, Pengerusi Majlis Felo Kolej-Kolej Kediaman UPSI menzahirkan penghargaan terhadap komitmen mahasiswa dalam mengangkat warisan budaya sebagai medium pendidikan dan perpaduan. Beliau turut menekankan kepentingan seni sebagai jambatan yang menghubungkan generasi serta memperkukuh identiti bangsa. “Seni bukan sekadar hiburan, tetapi merupakan medium yang mampu menyatukan generasi dan memperkukuh jati diri bangsa”.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif penganjurannya, malah turut meninggalkan impak mendalam kepada semua yang hadir. Inisiatif seperti ini wajar diteruskan sebagai platform untuk menyemai kecintaan terhadap seni dan budaya, di samping memastikan khazanah warisan Nusantara terus subur dan dihargai oleh generasi akan datang.