Oleh: Nurul Insyirah Zubir dan Fitra Aqilah Suhaimi
NEGERI SEMBILAN 4 April 2026 – Deruan ombak dan bayu laut di Pantai Teluk Kemang menjadi penyambut kepada ketibaan delegasi Saintis Muda dari Uzbekistan dalam satu lawatan santai yang penuh bermakna bersama mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah International Mobility & Advanced Education Centre (IMAC) UPSI yang memberi peluang kepada peserta antarabangsa untuk merasai sendiri keindahan suasana tempatan sambil membina hubungan lebih rapat dengan mahasiswa UPSI di luar pengisian akademik.
Program lawatan ini diadakan bagi memperkenalkan keunikan budaya dan hospitaliti Malaysia kepada delegasi Saintis Muda Uzbekistan, selain mengeratkan hubungan antara peserta antarabangsa dan mahasiswa UPSI melalui aktiviti santai yang dijalankan sepanjang perjalanan.



Di samping itu, lawatan ini turut menjadi medium kepada mahasiswa UPSI untuk menyantuni delegasi luar negara secara lebih dekat, sekali gus mewujudkan pengalaman mobiliti yang lebih mesra dan bermakna.
Destinasi pertama lawatan ialah Pantai Teluk Kemang, Port Dickson dengan pemandangan laut dan suasana nyaman di tepi pantai. Bagi delegasi Uzbekistan yang kebanyakannya datang dari negara yang dikelilingi daratan, pengalaman menikmati ombak dan bayu laut ini memberi satu keterujaan tersendiri kepada mereka.
Para peserta dilihat meluangkan masa berinteraksi secara santai, merakam gambar kenangan bersama mahasiswa UPSI. Suasana tersebut secara tidak langsung mewujudkan hubungan yang lebih akrab apabila masing masing berpeluang berbual dan berkongsi pengalaman dalam suasana yang lebih relaks.
Selepas menikmati suasana pantai, rombongan kemudiannya dibawa untuk makan tengah hari bersama. Sesi santai ini menjadi ruang kepada semua peserta untuk beramah mesra dengan lebih dekat sambil menikmati juadah tempatan, sekali gus menambahkan lagi kemesraan yang terjalin sepanjang lawatan.
Perjalanan kemudian diteruskan ke Masjid Sri Sendayan yang terkenal dengan seni bina Islamik yang indah dan memukau. Ketibaan rombongan di lokasi tersebut mengundang rasa kagum dalam kalangan delegasi apabila mereka berpeluang melihat sendiri kehalusan ukiran serta struktur binaan masjid yang tersergam megah.
Di sini, mahasiswa UPSI bersama pemandu pelancong masjid mengambil kesempatan berkongsi penerangan mengenai seni bina, fungsi institusi masjid serta keharmonian masyarakat di Malaysia. Lawatan ini bukan sahaja memberi pendedahan baharu kepada delegasi, malah turut menimbulkan rasa dekat apabila mereka melihat persamaan budaya Islam yang wujud antara Malaysia dan Uzbekistan.
Salah seorang delegasi, Dilfuzakhon Boltaeva yang merupakan Senior English Teacher dari Uzbekistan State World Languages University (UzSWLU), Sebagai seorang pendidik pakar dan beliau memberikan pengiktirafan tinggi terhadap kualiti mahasiswa UPSI.
“My overall experience during the trip was truly amazing and memorable. I observed that the students were knowledgeable, motivated and eager to learn. They showed great respect for our culture,” kongsi Dilfuzakhon.
Beliau secara khusus memuji kepimpinan Fitra Aqilah selaku ketua kumpulan yang sangat bertanggungjawab, selain menghargai ukhuwah erat yang terbina bersama lapan lagi ahli kumpulan mahasiswa termasuk Insyirah, Zul’Ashryn, Lokman, Fadhlina, Amiera dan yang lain.
“The trip was not only fun but also educational and inspiring,” tambah beliau lagi, menyifatkan kembara ke Negeri Sembilan ini sebagai satu proses pembelajaran tentang cara hidup dan budaya Malaysia yang sangat menarik.
Secara keseluruhannya, lawatan santai ke Negeri Sembilan ini berjaya memberikan pengalaman baharu yang cukup bermakna kepada delegasi Saintis Muda Uzbekistan melalui kunjungan ke beberapa lokasi menarik serta interaksi mesra bersama mahasiswa UPSI.
Lebih daripada sekadar lawatan, program ini menjadi ruang untuk membina persefahaman, mengeratkan persahabatan dan mencipta kenangan indah yang pastinya akan terus diingati oleh semua peserta yang terlibat.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu medium terbaik dalam memperkukuh hubungan antarabangsa, di samping memberi peluang kepada mahasiswa UPSI untuk terus memainkan peranan aktif dalam menyantuni delegasi luar negara.

