Oleh: Nur Yasmin ‘Afifah Che Mat
TANJONG MALIM, 6 Jun – Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) Sidang 2025/2026 dengan kerjasama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya serta beberapa rakan kolaborasi telah menganjurkan program (D’BAHASA) Dialog Bahasa: Evolusi atau Erosi Bahasa Melayu di Media Sosial ? yang berlangsung di Dewan Kolej Za’ba, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program tersebut menampilkan tokoh bahasa dan persuratan Melayu terkemuka, iaitu Yang Berhormat Senator Datuk Seri Profesor Emritus Dr. Haji Awang bin Sariyan yang berkongsi pandangan mengenai perkembangan Bahasa Melayu dalam era digital serta cabaran yang dihadapi dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan. Beliau turut membincangkan pengaruh media sosial terhadap cara berbahasa dalam kalangan generasi muda pada masa kini.
Antara persoalan yang mendapat perhatian peserta ialah sejauh manakah pempengaruh, pencipta kandungan dan selebriti media sosial bertanggungjawab dalam membentuk corak penggunaan bahasa generasi muda. Menjawab persoalan tersebut, beliau menjelaskan bahawa bahasa sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman dan peraturan linguistik mempunyai kelenturannya yang tersendiri.
Namun demikian, beliau menegaskan bahawa aspek adab tidak boleh dikompromi. Menurut beliau, “Peraturan linguistik ada kelenturannya tetapi adab tiada kelenturan.” Katanya lagi, pengabaian adab dalam berbahasa berpotensi mewujudkan kesenjangan dalam masyarakat serta menjejaskan hubungan sosial antara pengguna media.


Perkongsian tersebut membuka perspektif baharu kepada para peserta tentang kepentingan mengekalkan kesantunan bahasa walaupun berkomunikasi dalam ruang digital yang pantas dan terbuka. Program ini bukan sahaja menjadi wadah perbincangan isu bahasa semasa, malah memperkukuh kesedaran mahasiswa terhadap tanggungjawab memelihara martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan negara.
Melalui penganjuran program seperti ini, PERBAYU terus memainkan peranan penting dalam menyemarakkan kecintaan terhadap Bahasa Melayu serta menggalakkan penggunaan bahasa yang beradab dalam kalangan generasi muda.
