Gambar peserta dan Ahli Jawatankuasa Program UPSI CHARITY RUN, 2026)Gambar peserta dan Ahli Jawatankuasa Program UPSI CHARITY RUN, 2026)

Oleh: ARTHUR PETER

Tanjong Malim, 16 Mei 2026 – Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR) Sesi 2025/2026 telah berjaya menganjurkan UPSI Charity Run 2026 yang berlangsung dengan penuh meriah di Padang Kawad, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program yang menggabungkan elemen kebajikan, kesihatan dan pembentukan sahsiah ini berjaya menarik penyertaan seramai 41 orang peserta yang terdiri daripada warga UPSI.

Program yang berlangsung dari jam 7.00 pagi hingga 2.00 petang ini dianjurkan bertujuan untuk mengumpul dana kebajikan bagi membantu pelajar UPSI yang memerlukan, di samping memupuk amalan gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran sosial dalam kalangan mahasiswa. Melalui program ini, nilai-nilai murni seperti empati, keprihatinan, kerjasama dan tanggungjawab terhadap masyarakat dapat diterapkan secara langsung melalui pengalaman pembelajaran tidak formal.

Majlis dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta dan ketibaan tetamu jemputan. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Ramarao A/L Nageswara Rao, selaku Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR). Acara perasmian diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu negeri Perak, diikuti dengan ucapan perasmian yang disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua PERMOR.

Bagi menyemarakkan semangat para peserta sebelum memulakan larian, aktiviti senamrobik dan sesi ice-breaking telah dijalankan bagi mewujudkan suasana yang lebih ceria serta meningkatkan motivasi peserta. Acara utama UPSI Charity Run 2026 melibatkan larian sejauh 5 kilometer (5 KM) dengan lima buah checkpoint yang menguji ketahanan fizikal, disiplin serta strategi peserta dalam menamatkan larian.

Penganjuran acara ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan tahap kecergasan fizikal malah menjadi medium untuk menyumbang kepada kebajikan pelajar UPSI yang memerlukan. Kesemua yuran penyertaan yang dikumpulkan melalui program ini akan disalurkan sebagai bantuan kebajikan sekali gus membuktikan bahawa aktiviti sukan juga mampu menjadi wadah dalam membina masyarakat yang prihatin dan penyayang.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental melalui aktiviti riadah yang sihat. Selain itu, pengalaman menyertai larian turut membentuk nilai ketabahan, semangat tidak mudah berputus asa serta kebolehan mengurus strategi bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.

UPSI Charity Run 2026 turut menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG) melalui penerapan beberapa elemen penting seperti SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui pembelajaran tidak formal dan pembangunan sahsiah peserta, SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan melalui pengurusan serta pelaksanaan acara yang sistematik, serta SDG 17: Kerjasama Demi Matlamat melalui penglibatan dan kerjasama antara penganjur, peserta serta warga universiti.

Majlis diteruskan dengan sesi refleksi yang memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi nilai dan pengajaran yang diperoleh sepanjang program berlangsung. Seterusnya, acara penyampaian hadiah kepada para pemenang diadakan sebagai penghargaan terhadap usaha dan pencapaian peserta. Program diakhiri dengan sesi fotografi bersama serta aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan program sebelum semua peserta bersurai.

Secara keseluruhannya, UPSI Charity Run 2026 telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan menggabungkan elemen kesihatan, kebajikan dan pembangunan nilai murni dalam kalangan warga UPSI. Penyertaan seramai 41 orang peserta membuktikan bahawa program seperti ini mampu menjadi platform yang berkesan dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kepekaan sosial dan rasa tanggungjawab terhadap komuniti. Pihak penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai salah satu usaha berterusan dalam melahirkan graduan UPSI yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan sosial, selaras dengan aspirasi universiti dalam membentuk insan yang holistik dan berintegriti.